HAFIZ tampil dengan single terbaru Kembali KepadaMu.
HAFIZ tampil dengan single terbaru Kembali KepadaMu.
Nurul Sabrina Jamali


PENYANYI, komposer dan penulis lirik, Hafiz Hamidun mendakwa dia pernah menolak lagu daripada komposer terkenal, Mohd Faizal Maas atau Ajai sehingga menimbulkan kemarahan komposer terbabit kepadanya.

Hafiz Hamidun atau nama sebenarnya Mohammad Hafiz Hamidun, 39, mengakui dia berbuat demikian dengan alasan lagu terbabit tidak kena dengan jiwanya dan tidak menjangka perkara itu membuatkan Ajai bengang dengannya.

"Saya sebagai seorang komposer, juga memahami perasaan Ajai jika lagu ditolak oleh penyanyi yang diinginkan kerana bukan mudah untuk menghasilkan lagu dan ia mengambil masa yang agak lama.

"Saya masih ingat, Ajai memberi saya beberapa lagu dan tidak menyangka dia menunggu keputusan terima daripada saya kerana ketika itu saya hanya memberi jawapan sambil lewa dengan berharap dia faham saya menolak lagu itu.

"Saya mengakui, itu adalah kesalahan saya dalam hal terbabit, tetapi pada masa yang sama saya tidak mahu disebabkan perkara itu, hubungan persahabatan kami terjejas," katanya ketika ditemui pada majlis makan tengah hari sempena pelancaran single terbarunya Kembali KepadaMu baru-baru ini.

Dalam pada itu, penyanyi Kasih KepadaMu ini turut berkongsi pengalamannya menyertai rancangan muzik realiti The Last Trio Standing 2022 (TLTS) yang ditayangkan di Astro Ria.

Menurutnya, meskipun hubungannya bersama Ajai tegang, namun dia sebak apabila Ajai, sebagai juri TLTS 2022 memberi komen positif setiap minggu mengenai persembahan kumpulannya.

"Pada mulanya, saya sangat mengharapkan Ajai tidak tersenarai dalam barisan juri TLTR kerana takut dia tidak profesional selepas apa yang terjadi antara saya dan dia.

"Sebelum membuat persembahan, saya sudah berpesan kepada anggota kumpulan saya, yang terdiri daripada penyanyi, Asmidar dan Syahmi Irfan jika kami tersingkir pada minggu pertama, saya sudah tahu apa puncanya.

"Sebaliknya, saya tidak menyangka dan terharu kami bertahan hingga ke 'final' dan Ajai sentiasa memberi kami komen yang sangat baik," katanya.

Hafiz turut berkata, dia menghormati sikap profesional Ajai walaupun dia tahu, penolakan lagu yang diberi komposer terbabit adalah kesalahan yang tidak boleh dielakkan.

"Saya mahu mengambil kesempatan ini ingin membuat permohonan maaf secara eksklusif kepada pihak yang pernah bekerjasama dengan saya terutamanya Ajai dan saya jadikan perkara ini sebagai pengajaran dalam hidup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 6:44 AM