AFP

Madrid: Real Madrid perlu mengatasi masalah kecederaan dialami penjaring utama Karim Benzema ketika mereka kembali ke kancah saingan domestik dengan menentang Levante, esok.

Skuad kendalian Rafael Benitez itu menduduki tangga kedua, satu mata di belakang pendahulu Villar-
real selepas seri dengan Malaga dan Atletico sebelum rehat antarabangsa lalu.

Real kekal menjadi salah satu daripada dua pasukan yang masih belum tewas bersama-sama Celta Vigo, tetapi rehat antarabangsa membawa padah buat Benzema apabila dia mengalami kecederaan hamstring ketika membantu Perancis menang 4-0 ke atas Armenia minggu lalu manakala Luka Modric berdepan masalah paha ketika mewakili Croatia untuk kempen Euro 2016.

Benitez turut kehilangan pertahanan kanan Dani Carvajal yang tidak beraksi sepanjang dua pertemuan terakhir Sepanyol gara-gara masalah pergelangan kaki dan beliau juga meragui tahap kecergasan Sergio Ramos dan Pepe.

Ketiadaan Benzema membuatkan Real yang akan berdepan Paris Saint-Germain dalam aksi Liga Juara-Juara Khamis depan sebelum bertemu Celta Vigo, bergantung harapan kepada Cristiano Ronaldo.

Bintang Portugal itu menerima anugerah Kasut Emas Eropah buat kali keempat Selasa lalu, tetapi setakat ini dia hanya mampu meledak satu gol sepanjang tujuh perlawanan musim ini.

“Saya masih segar dan muda. Saya baru berusia 30 tahun dan mahu bermain lima atau enam tahun lagi. Buat masa ini, saya mahu melakukan yang terbaik dan mengekalkan prestasi yang sebelum ini sudah saya pamerkan,” kata Ronaldo.

“Real Madrid sepatutnya tidak boleh gagal memenangi sebarang piala dan ia tidak terkecuali tahun ini. Saya sentiasa mengimpikan untuk mencipta kejayaan bersama pasukan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 6:49 AM