BENZEMA meraikan gol ketiga Madrid. FOTO AFP
BENZEMA meraikan gol ketiga Madrid. FOTO AFP
AFP

Madrid: Zinedine Zidane mengakui beliau masih tidak mengerti mengapa Karim Benzema diketepikan dari skuad kebangsaan Perancis ketika penyerang itu sekali lagi membantu memacu kemenangan Real Madrid 3-1 ke atas Celta Vigo semalam.

Benzema meneruskan penampilan hebat di Balaidos apabila meledakkan dua gol dan menjadikan yang ke-10 dalam 10 perlawanan terakhir dan turut mengatur gol ketiga buat Marco Asensio di waktu kecederaan.

Ramai daripada skuad pimpinan Zidane itu dipanggil menyertai skuad kebangsaan namun Benzema akan tetap di Madrid dengan pemain berusia 33 tahun itu diketepikan oleh Perancis selepas didakwa berperanan dalam komplot memeras ugut Mathieu Valbuena pada 2015.

"Bagaimana anda memahaminya?. Saya tidak faham, anda tidak memahaminya. Ramai orang tidak memahaminya," kata Zidane selepas perlawanan. "Apa yang dia lakukan hari ini sangat luar biasa."

Zidane mengesahkan Sergio Ramos turut dipanggil bersama skuad Sepanyol biarpun pemain pertahanan itu terlepas aksi ketika menentang Celta kerana cedera.

Kemenangan Madrid meningkatkan tekanan kepada Atletico menjelang perlawanan mereka di laman sendiri menentang Alaves dengan skuad kendalian Zidane melonjak ke tangga kedua sekurang-kurangnya sehingga Barcelona turun bertemu Real Sociedad, awal pagi ini.

Penampilan terbaik Benzema datang pada minggu yang sama ketika Zidane mengakui 'kemungkinan' kepulangan Cristiano Ronaldo musim panas ini.

Namun spekulasi mengenai Ronaldo itu menjadikan aksi Benzema semakin hebat beberapa minggu kebelakangan ini dengan kejayaan meledakkan lima gol dalam tiga perlawanan liga terakhir Madrid ketika memperoleh keputusan seri di Atletico, kemenangan Elche dan kini menang ke atas Celta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 11:15 AM