NURFARAH Md Aspar.
NURFARAH Md Aspar.
BERSAMA suami, Zainulariffin yang sehati sejiwa.
BERSAMA suami, Zainulariffin yang sehati sejiwa.
GOLONGAN ini perlukan perhatian.
GOLONGAN ini perlukan perhatian.
DI SISI seorang penghuni yang berumur 72 tahun.
DI SISI seorang penghuni yang berumur 72 tahun.
PUSAT Jagaan Teduhan Zafrah.
PUSAT Jagaan Teduhan Zafrah.
Oleh Kusyi Hirdan

Wanita ini kelihatan sangat muda. Bagaikan belasan tahun sahaja walaupun sebenarnya dia sudah berusia 25 tahun. Mungkin kerana berwajah keanak-anakan, apabila tersenyum, senyumannya meleret dan menampakkan dia seperti lebih muda daripada usianya.

Pertemuan singkat dengan Nurfarah Md Aspar sehari sebelumnya membuatkan penulis rasa tidak puas. Rancangan dibuat untuk bertemu lagi keesokan hari.

Syukur, kami masing-masing dapat meluangkan masa, jadi berpeluanglah bercerita dan saling berkenalan. Dapat mendengar rasa hati seorang insan yang bagi penulis sangat hebat.

Hebat kerana keberaniannya melakukan sesuatu yang tidak ramai antara kita mampu. Berbeza dengan anak muda zaman ini yang memikirkan kerjaya atau bentuk perniagaan yang memberi imbuhan tinggi, keseronokan, mudah dan glamor sekali gus masa depan cerah . Nurfarah melakukan sesuatu yang semuanya bukan dinyatakan itu!

Dia membuka pusat jagaan warga emas yang dinamakannya Pusat Jagaan Teduhan Zafrah di Taman Desa Sepayung, Muar, Johor.

Pusat ini terbuka untuk penjagaan warga tua, paliatif, harian dan kekal.

“Minat saya dalam bidang kejururawatan bermula ketika saya bekerja sementara waktu menunggu keputusan SPM. Ketika itu bagi mengisi masa dan mencari wang, saya bekerja di sebuah klinik.

“Di situlah saya mendapat pengalaman berharga dengan membantu doktor melayan pesakit dan tugasan klinik yang lain. Semuanya saya belajar, daripada menghafal ubat sehinggalah membantunya menguruskan wanita mengandung. Itulah pemulanya,” katanya.

Minat itu tidak terbiar begitu saja dan kini Nurfarah berkelulusan Diploma Kejururawatan yang diperoleh pada 2009. Sebaik menggenggam diploma, Nurfarah seperti remaja lain juga mahu mencari pekerjaan demi menyara diri.

Berasal daripada keluarga yang serba sederhana, ibunya berniaga warung manakala bapanya pemandu lori. Anak kedua daripada empat beradik itu mula bekerja di bidang yang sesuai dengan kelulusannya di sekitar Johor.

Pengalaman bekerja di hospital membuka mata Nurfarah pada suatu bidang yang boleh diceburinya. Dia melihat ada kekurangan dalam penjagaan warga tua. Ada warga tua yang bernasib baik dapat dijaga oleh waris atau anak sendiri. Ada yang mempunyai harta dan anak yang berharta untuk menggajikan orang gaji serta jururawat datang ke rumah.

Ada pula yang mampu, tetapi tidak mampu dari segi penjagaan kerana komitmen kerja. Ada yang mempunyai masalah keluarga. Ada yang sebatang kara dan bermacam-macam lagi cerita. Nurfarah mula berasakan itulah bidang yang perlu diceburi. Dia mahu bekerja sendiri.

“Dari situ saya merancang membuka rumah penjagaan ini. Tentu saja impian ini mendapat banyak tentangan. Ini kerana saya sangat muda dan paling utama, apa yang saya hendak buat ini bukan perkara mudah. Tetapi saya teruskan juga walaupun di hati agak risau. Bolehkah saya melakukannya? Mampukah saya melalui cabaran besarnya kelak? Sabarkah saya?” katanya.

Menceritakan keperitan mula membuka Pusat Zafrah pada November 2013, beberapa kali Nurfarah menyeka air matanya. Ia bukan sesuatu yang mudah. Namun dapat dilihat, dalam kelembutan hatinya, wanita ini mempunyai semangat yang kuat dan keberanian yang begitu jitu sekali.

“Untuk memulakan semua ini, saya meminjam wang daripada keluarga. Maklumlah saya tidak punya wang sendiri lagi ketika itu. Saya terus mencari rumah sewa yang sesuai, membeli sedikit segala keperluan, mengambil lesen kereta supaya mudah untuk bergerak dan berdikari.

“Lima bulan pertama saya tumpukan untuk promosi tempat ini. Promosi melalui surat khabar, cetak atas kertas dan masukkan dalam surat khabar sekitar Muar, selain promosi di laman sosial. Selepas lima bulan, baru masuk penginap yang pertama dan diikuti seterusnya oleh beberapa orang lagi,” katanya.

Percaturan Nurfarah ternyata tidak sia-sia. Kini selepas hampir dua tahun beroperasi, penghuni di Pusat Zafrah sudah mencecah 16 orang. Keadaan itu memerlukannya menambah sebuah rumah lagi.

Wajah Nurfarah berubah mendung apabila menceritakan mengenai tanggapan orang terhadap apa yang diusahakannya itu.

“Dulu, pada awalnya orang memandang negatif dengan apa yang saya hendak buat dengan pelbagai telahan. Kini, apabila melihat ia semakin berkembang dan diterima masyarakat, mereka mula mengira keuntungan yang saya dapat pula. Kononnya saya buat ini semua kerana mahukan keuntungan semata-mata.

“Memanglah, ini cabang perniagaan saya, tetapi bukan itu yang saya cari semata-mata. Tanpa minat dan betul-betul menjiwai bidang ini, segalanya tidak ke mana,” katanya.

Ada orang meminati bidang penjagaan kanak-kanak, tetapi bagi Nurfarah, penjagaan warga tua kena dengan jiwanya.

Sesungguhnya kos penjagaan warga tua bukanlah murah. Semua orang tahu kos lampin dewasa dan susu khas sangat mahal, begitu juga peralatan penyelenggaraan lain. Jadi, bayaran yang dikenakan oleh pihak Nurfarah sangat berpatutan.

Bagi isteri muda ini, apa yang dilakukannya lebih kepada sebuah nilai kasih sayang. Dia sekarang tidak betah ke mana-mana kerana hatinya sangat terikat dengan setiap penghuni Pusat Zafrah.

Apa yang ditawarkan oleh Pusat Zafrah bukan sekadar kepada orang tua itu sendiri, tetapi kepada ahli keluarga yang memerlukan bantuan.

Contohnya, ada anak yang tidak mempunyai pembantu untuk menjaga orang tua di rumah ketika mereka keluar bekerja, mereka boleh meninggalkan orang tua mereka sepanjang waktu pejabat. Habis kerja, ambil semula orang tua mereka untuk dibawa pulang ke rumah.

Kini, dengan Pusat Jagaan Teduhan Zafrah semakin berkembang, Nurfarah beruntung kerana suaminya sungguh menyokong perjuangannya dan sanggup berhenti kerja untuk bersama-sama si isteri membangunkan pusat jagaan itu.

Selain keluarga, Zainulariffin Abdul Rahim, 28, yang menjadi suami Nurfarah pada 17 Oktober 2014 lalu menjadi penyokong utama lantaran mereka sudah berkenalan lama sejak pada zaman persekolahan.

“Saya tekad berhenti kerja tetap untuk bersama-sama isteri kerana dia sangat memerlukan bantuan saya dan juga pertambahan penghuni lelaki di Pusat Zafrah.

“Untuk memandikan mereka dan beberapa urusan lain, ia memang perlukan bantuan lelaki,” kata Zainulariffin.

Nurfarah tersenyum kecil mengenang peristiwa pada pagi hari pernikahan mereka, Zainulariffin masih membantu di Pusat Zafrah memandikan penginap mereka.

“Terus terang, saya juga risau awalnya, tetapi saya berpendapat, kalau hendak buat, buat betul-betul dan terbaik. Teruskan!” tegas si suami.

Pengalaman sedih sepanjang Nurfarah membuka Pusat Zafrah tentu saja setiap kali penghuninya meninggal dunia.

“Selain melihat kematian warga penghuni kami yang biasanya kerana sakit tua, saya juga sedih apabila melihat ada ahli keluarga bertelingkah dalam penjagaan orang tua mereka.

“Ada yang marah apabila ahli keluarga mahu menempatkan orang tua mereka di sini. Kadang-kadang, mereka tinggalkan di sini kerana terpaksa. Tiada pilihan lain. Mereka tetap datang melawat dan bukan tak peduli langsung. Cuma, apabila kata letak di rumah penjagaan, orang pandang lain,” katanya.

Penulis melihat seorang isteri yang tidak berdaya menjaga suaminya yang uzur dan terpaksa menggunakan khidmat Pusat Zafrah. Dia mungkin ada masalahnya sendiri seperti masalah kesihatan atau tidak larat.

Menurut Nurfarah, si isteri itu setiap hujung minggu akan datang ke situ menziarahi suaminya.

Kita mungkin berasakan Nurfarah dan suaminya, Zainulariffin terlalu muda untuk berada di bidang itu, tetapi mereka wajah baru yang diperlukan masyarakat. Mereka hadir dengan mengisi kekosongan yang sangat kita perlukan.

Bukanlah kita lepas tangan membiarkan orang lain menjaga ibu bapa kita yang uzur ataupun sakit. Kita memerlukan sebuah pertolongan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2015 @ 9:33 AM