DUA lelaki ditemukan rentung kenderaan selepas dua hari hilang. FOTO Anadolu Agency
DUA lelaki ditemukan rentung kenderaan selepas dua hari hilang. FOTO Anadolu Agency
AFP

New Delhi: Seorang lelaki ditahan disyaki membunuh dua lelaki Islam yang mayatnya ditemukan rentung di dalam kereta selepas dipercayai diculik kerana didakwa menyeludup lembu.

Lembu dianggap suci oleh penganut Hindu dan penyembelihannya adalah haram di banyak negeri India.

Mayat kedua-dua lelaki itu ditemui dalam kenderaan yang terbakar di utara negeri Haryana pada pagi Khamis, sehari selepas mereka dilaporkan hilang.

Kedua-duanya berasal dari Rajasthan dan keluarga mereka menamakan lima lelaki dari kumpulan Bajrang Dal sebagai 'suspek' dalam laporan polis selepas kehilangan mereka.

"Kami menahan seorang suspek setakat ini, dan masih mengesan yang lain," kata pegawai polis Shyam Singh kepada AFP.

Polis Rajasthan dalam kenyataan berkata, lelaki yang ditahan adalah pemandu teksi dan turut terbabit dengan kumpulan 'penjaga' lembu.

Skuad 'penjaga' lembu yang meronda di lebuh raya bagi menghalang haiwan itu diangkut melintasi sempadan mula dilaksanakan sejak Narendra Modi dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2014.

Ketua Menteri Rajasthan Ashok Gehlot mengecam pembunuhan itu di Twitter dan berkata tindakan tegas akan diambil terhadap tertuduh.

Pengkritik menuduh kerajaan Modi menutup mata terhadap serangan kumpulan 'vigilante' terhadap minoriti orang Islam atas nama perlindungan lembu.

Rajasthan dan Haryana adalah antara negeri yang mengharamkan penyembelihan lembu, dan pihak berkuasa memastikan sesiapa yang mengangkut haiwan itu merentasi sempadan negeri untuk memiliki permit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 4:00 PM