Kuala Lumpur: Sedar kepentingan Le Tour de Langkawi (LTdL) kepada Terengganu Cycling Team (TSG), jurulatihnya Adam Szabo tidak mahu mengambil risiko menurunkan barisan pelumba import namun memberikan kepercayaan kepada kudrat pelumba tempatan.

Hanya pelumba Singapura, Goh Choon Huat berada dalam senarai enam pelumba dengan bakinya adalah pelumba dari Terengganu iaitu Adiq Husainie Othman (kapten), Anuar Manan, Harrif Saleh, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki dan Shahrul Mat Amin.

Manakala tiga pelumba import barunya diketuai juara ujian masa individu Bawah 23 tahun Asia Erdene Batmunkh Maral (Mongolia), Danial Whitehouse (England) dan Dadi Muryadi (Indonesia) bersama Zamri Salleh serta Nor Umardi Rosdi dihantar untuk bersaing di Le Tour de Filipinas pada perlumbaan berstatus 2.2 dalam Jelajah Asia.

Jelasnya, keputusan itu diambil kerana masih belum dapat menilai sepenuhnya kemampuan tiga pelumba baru TSG yang menyertai mereka sejak pertengahan Januari lalu.

“Saya sebenarnya masih tidak mengetahui kemampuan sebenar mereka akan berlumba dalam saingan sebesar LTdL. Perlumbaan ini penting bagi kami, jadi saya lebih yakin kepada pelumba tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 9:09 AM