ANUAR Manan (dua dari kiri) belum pamer aksi terbaik buat TSG. -Foto fail
ANUAR Manan (dua dari kiri) belum pamer aksi terbaik buat TSG. -Foto fail
Azlan Muhammad Zain


TERENGGANU Cycling Team (TSG) tidak berputus asa walaupun dilihat masih belum menyerlah selepas mengharungi tiga peringkat Tour de Selangor 2017.

Pasukan berstatus benua berkenaan masih belum menang peringkat perlumbaan atau meraih kedudukan podium ketika saingan berbaki dua peringkat lagi.

“Kami akan terus mencuba sekurang-kurangnya berada di atas podium. Namun pasukan yang dihantar adalah campuran pelumba lama dan baharu termasuk saya sendiri.

“Dua peringkat akhir mungkin perlumbaan akan berakhir dalam kelompok besar, kami akan mengintai peluang melakukan sesuatu,” kata pelumbanya, Muhd Nur Aiman Mohd Zariff.

TSG membariskan tiga pelumba berpengalaman diketuai Mohd Zamri Salleh, Anuar Manan dan Goh Choon Huat selain dua pelumba muda, Muhammad Zulhilmie Afif Ahmad Zamri dan Aiman.

Mereka kehilangan seorang pelumba pada peringkat pertama apabila Mohd Nor Umardi Rosdi terbabit dalam kemalangan.

Team Sapura Cycling (TSC) yang baru ditubuhkan penghujung tahun lalu sudah memenangi dua peringkat perlumbaan manakala satu lagi peringkat dimenangi pasukan berstatus kelab, PDRM.

Mengenai peluang mengekalkan jersi pelumba muda terbaik, Aiman menjelaskan dia semakin yakin untuk mencapai kejayaan.

Dia kini mengumpul lapan jam 31 minit 44 saat, meninggalkan pencabar terdekat Azli Najmi Zulkefli dari Selangor dengan perbezaan tiga minit 19 saat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 8:17 PM