ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan Bomba
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Lelaki maut manakala empat yang lain parah selepas kereta dinaiki bertembung dengan lori membawa muatan pasir di Jalan Keramat Pulai dekat Pos Raya di sini.

Dalam kejadian 2.20 petang tadi, mangsa Maulana Abdul Shakir Nordin, 23, yang juga pemandu kereta berkenaan maut di tempat kejadian dan empat penumpang lain termasuk seorang wanita parah manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu mangsa dari arah Cameron Highlands menuju ke Ipoh dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar lori berkenaan.

"Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 9:37 PM