KEADAAN Proton Wira terbabas dan melanggar penghadang besi. FOTO Ihsan PDRM.
KEADAAN Proton Wira terbabas dan melanggar penghadang besi. FOTO Ihsan PDRM.
Mohd Hafizee Mohd Arop


SEORANG lelaki maut manakala dua cedera selepas Proton Wira dinaiki terbabas lalu melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 349.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Bidor, 8.15 pagi tadi.

Mangsa, Muhammad Azry Izwan Rohaizad, 22, tersepit di tempat duduk pemandu dan mengalami kecederaan parah maut di lokasi kemalangan.

Difahamkan, dua lagi penumpang iaitu tunang mangsa berusia 22 tahun dan seorang kanak-kanak belum dikenal pasti identiti masing-masing cedera di kepala, namun dilaporkan dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari Kuala Lumpur sedang menghala ke Taiping.

“Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan dikeluarkan pihak bomba sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Dua lagi penumpang yang cedera dikejarkan ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh,” katanya.

Wan Azharuddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan.

“Seorang lelaki tersepit di tempat duduk pemandu sementara itu dua lagi mangsa dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa ke hospital.

“Anggota operasi kemudian menggunakan peralatan menyelamat dan berjaya mengeluarkan mangsa kemudian disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 12:48 PM