AKSI terakhir antarabangsa  Balotelli adalah pada Piala Dunia di Brazil.
AKSI terakhir antarabangsa Balotelli adalah pada Piala Dunia di Brazil.
AFP

Milan: Kepulangan Mario Balotelli ke Itali untuk aksi kelayakan Euro 2016 menentang Croatia awal pagi Isnin ini membawa satu impian baru buat pemain berkenaan - mahu mengembalikan semula imej serta kualiti yang pernah hadir seiring dengan prestasinya yang menakjubkan banyak pihak.

Balotelli masih belum turun bermain sejak mereka tersingkir awal di Piala Dunia Brazil dan sepanjang tiga aksi awal kelayakan Euro 2016, dia hanya disenaraikan sebagai pemain simpanan oleh jurulatih baru Itali Antonio Conte.

Penyerang berusia 24 tahun itu sering terbabit dengan kontroversi dan menghabiskan masa selama dua setengah tahun bersama Manchester City, di mana dia terlepas 11 aksi gara-gara masalah disiplin.

Selepas kembali ke Itali pada Januari 2013 untuk mewakili AC Milan, Balotelli berpindah ke Liverpool tetapi dia tetap gagal menyerlah dan lebih memburukkan keadaan, dia tidak mampu menjaringkan gol.

Keputusan Conte untuk memanggil Balotelli membuatkan ramai pemerhati menggaru kepala.

“Balotelli hanya dipanggil oleh skuad kebangsaan selepas Lorenzo Insigne cedera,” kata Francesco De Luca, ketua editor akhbar Il Mattino.

Bekas pemain Inter Evaristo Beccalossi turut tidak menyebelahi Balotelli.

“Kami selalu berkata bahawa kehadiran Mario perlu bergantung kepada bagaimana prestasi semasanya tetapi ketika ini, dia tidak cemerlang bersama pasukan diwakilinya,” kata Beccalossi.

“Dia bergelut untuk menyerlah tetapi Conte tetap memilihnya. Bagi saya, semua penyerang yang kami miliki ketika ini tidak berada pada tahap terbaik masing-masing.”

Sama ada di dalam atau di luar padang, Balotelli sering mencipta kontroversi tidak kira beraksi di kelab mana sekalipun.

Laporan dikeluarkan di England menyebut Balotelli dilihat menghadiri parti di sebuah kelab malam di London hingga jam 4.30 pagi selepas kekalahan 2-1 Liverpool di tangan Chelsea. Pada perlawanan itu, dia tidak bermain cemerlang.

Beberapa minggu lalu, dia dikecam peminat selepas bertukar jersi dengan pemain Real Madrid Pepe ketika tamat separuh masa pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:10 AM