Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) mencadangkan kepada Peguam Negara agar melaksanakan pendakwaan jenayah terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mengikut Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA).

“Bagaimanapun, mengikut Perlembagaan Persekutuan, keputusan untuk memulakan sesuatu pendakwaan jenayah terletak sepenuhnya pada Peguam Negara,” kata bank pusat itu dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mengikut kenyataan itu, sebagai pihak berkuasa, bank pusat bertanggungjawab untuk melakukan siasatan berkaitan pada tahap profesional tertinggi.

BNM berkata, pihaknya akan terus memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain itu, bank pusat turut membatalkan tiga kebenaran yang diberikan kepada 1MDB untuk pelaburan di luar negara sebanyak US$1.83 bilion atau RM7.5 billion.

Kenyataan itu menyebut, BNM turut meminta 1MDB untuk membawa balik jumlah terbabit ke Malaysia dan mengemukakan kepada BNM perancangannya berkaitan perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 6:51 PM