BANK Negara Malaysia. FOTO Arkib NSTP
BANK Negara Malaysia. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM), pada Khamis, menjelaskan kesemua pelaburan di luar negara oleh entiti pemastautin tertakluk pada syarat di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang (AKPW) 1953 yang sudah dikuatkuasakan sebelum 2013, yang selepas itu diganti oleh Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

BNM menambah, syarat-syarat berkenaan dan kriteria yang mengawal pelaburan itu adalah telus dan diterbitkan dalam laman sesawang BNM.

"Kesemua permohonan yang dihantar oleh 1MDB, termasuk permohonan yang dinyatakan di atas, adalah tertakluk pada kriteria kelulusan dan proses tadbir urus dalaman yang digunakan dalam mana-mana permohonan yang dihantar oleh entiti-entiti lain kepada BNM," menurutnya dalam kenyataan.

Kenyataan BNM itu adalah merujuk testimoni saksi dalam perbicaraan yang sedang berlangsung di New York, Amerika Syarikat berhubung kelulusan yang diberikan oleh BNM kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk melabur di luar negara pada 2009.

BNM turut mengulas laporan terdahulu mengenai maklumat yang diterima daripada unit perisikan kewangan (FIU) asing yang berkaitan dengan akaun milik suami kepada bekas gabenor.

Dalam hal terbabit, maklumat sudah diberikan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan pada April 2016 selaras dengan tanggungjawab BNM di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 8:08 AM