Kim Kardashian. FOTO AFP
Kim Kardashian. FOTO AFP
AP

New York: Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti (SEC) menyaman selebriti Amerika Syarikat (AS), Kim Kardashian berhubung isu promosi mata wang kripto.

Bintang realiti televisyen itu turut dihalang membuat promosi itu selama tiga tahun dan perlu menjelaskan denda AS$1 juta (RM4.64 juta).

Bayaran itu adalah bagi menyelesaikan kes pendakwaan ke atas beliau yang mengesyorkan jaminan kripto kepada 330 juta pengikut Instagram miliknya tanpa menjelaskan beliau dibayar untuk mempromosikan perkara itu.

Kardashian juga perlu menyerahkan bayaran AS$250,000 (RM1,161,250) yang diterima bagi hantaran token Ethereum Max di Instagram serta faedahnya sekali.

Pengerusi SEC Gary Gensler dalam satu kenyataan berkata, penyelesaian Kardashian itu sebagai peringatan kepada selebriti dan orang lain bahawa undang-undang memerlukan mereka mendedahkan kepada umum bila dan berapa banyak mereka dibayar untuk mempromosikan pelaburan dalam sekuriti.

Gensler juga menggunakan penyelesaian yang menarik perhatian semalam itu sebagai peluang mendidik orang ramai serta mengeluarkan video jenaka YouTube yang memberi amaran mengenai kemungkinan perangkap pelaburan yang diberikan oleh orang kaya dan terkenal.

SEC berkata, Kardashian bersetuju untuk bekerjasama dengan siasatan yang sedang dijalankan, walaupun mereka tidak memberikan sebarang butiran mengenai siasatan itu.

Seorang peguam Kardashian, Patrick Gibbs berkata, anak guamnya itu bekerjasama sepenuhnya dengan SEC sejak awal lagi dan bersedia melakukan apa yang termampu dalam membantu SEC menyelesaikan isu itu.

Walaupun Kardashian terkenal dengan peranannya dalam siri televisyen The Kardashians, beliau juga seorang ahli perniagaan jenama pakaian dan penjagaan kulit yang berjaya.

Nilai mata wang kripto melonjak ketika pandemik Covid-19, namun nilainya semakin merosot baru-baru ini.

Token Ethereum Max yang dipromosikan Kardashian merosot nilainya lebih 90 peratus pada kemuncaknya, Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 1:55 PM