Swansea, United Kingdom: Erik Lamela dan Dele Alli mahu meneruskan rentak cemerlang masing-masing sekali gus menjadikan kedua-duanya tumpuan apabila Tottenham bertandang ke Swansea malam ini.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino itu hanya tewas sekali sepanjang sembilan perlawanan terakhir dalam semua pertandingan dan mereka akan ke Stadium Liberty dengan rasa megah selepas membelasah Manchester City 4-1 minggu lalu.

Jaringan penyamaan lewat permainan oleh Stephan El Shaarawy menafikan kemenangan Spurs di Liga Europa, kelmarin tetapi ia bukan satu-satunya bukti yang menunjukkan betapa kelab berkenaan sudah bangkit dari kekecewaan awal musim.

Antara yang membuatkan Pochettino tersenyum ketika ini ialah kecemerlangan yang ditunjukkan Lamela, 23, dan tidak sia-sia baginya membeli pemain itu dari Roma, dua tahun lalu.

Prestasi yang dipamerkan Alli sejak dibeli dari kelab divisyen tiga, Milton Keynes Dons juga semakin mendapat perhatian dan bintang berusia 19 tahun itu sudah dipanggil pengurus England Roy Hodgson walaupun baru mewakili Spurs sebanyak tiga kali.

Mengenai pemilihannya untuk menyarung jersi kebangsaan, pemain tengah berusia 19 tahun itu berkata, “Saya sangat terharu. Ia permulaan yang baik musim ini dan saya sendiri tidak menyangka ia akan berlaku dengan baik sekali.

“Pada mulanya, saya hanya mensasarkan untuk menjadi pemain utama skuad Bawah 21 tahun tetapi akhirnya saya dipanggil untuk menyertai skuad senior.

“Saya tidak mungkin dapat membalas budi semua rakan sepasukan serta kakitangan kelab yang berusaha menjadikan saya seperti hari ini.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:08 AM