KHAIRUL Fahmi, Khairul Azhan dan Hafizul giat berlatih.
KHAIRUL Fahmi, Khairul Azhan dan Hafizul giat berlatih.

Petaling Jaya: Jurulatih penjaga gol negara Yong Wai Hwang berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan ketiga-tiga anak buahnya, Khairul Fahmi Che Mat, Khairul Azhan Khalid dan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy sepanjang sesi skuad kebangsaan dalam persiapan ke Piala AFF hujung bulan ini.

Menurutnya, Khairul Fahmi, Khairul Azhan dan Hafizul Hakim sentiasa menunjukkan peningkatan dalam latihan dan mengakui beliau berasa kagum dengan petanda positif itu.

“Bagi saya ia bukan masalah (Hafizul kurang pengalaman), dia sudah membuktikan kehebatan dan mempunyai kelebihan tersendiri. Dia sebenarnya boleh membawa pasukan ke tahap yang berlainan. Prestasinya cukup memberangsangkan dan jika kita tidak memberi peluang kepadanya ia satu kerugian,” katanya semalam.

Jelasnya, ketiga-tiga penjaga gol juga mempunyai peluang terbuka untuk bertanding merebut slot penjaga gol utama menjelang saingan Piala AFF.

“Sudah tentu ia memeningkan kepala saya, tapi ia kebaikan buat kita. Mereka bertiga sangat komited dalam latihan. Setiap hari saya nampak peningkatan dan puas hati dengan pencapaian mereka,” kata Wai Hwang.

Sementara itu, jurulatih skuad kebangsaan Datuk Ong Kim Swee tidak akan memanggil pemain baru jika kecederaan yang dialami Nasir Basharuddin tidak mampu sembuh dalam tempoh seminggu.

“Nasir memang mengalami kecederaan (pangkal paha) tapi saya rasa kami tidak perlu memanggil pemain lain. Semua pemain berada di sini mampu menggalas tugas diberikan. Kami lihat dia mungkin perlu berehat selama satu atau dua minggu tapi bergantung kepada ujian imbasan esok (hari ini),” ujar Kim Swee.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 10:01 AM