KOMPLEKS Aman Central yang memulakan operasi perniagaan di Jalan Lebuhraya Darul Aman.
KOMPLEKS Aman Central yang memulakan operasi perniagaan di Jalan Lebuhraya Darul Aman.

Alor Setar: Kompleks Aman Central di Lebuhraya Darulaman dibuka kepada orang ramai semalam dengan membawa konsep beli-belah dengan gaya hidup baru kepada pengunjung terutama penduduk di negeri ini.

Pengarah Urusan Belleview Group, Datuk Sonny Ho berkata, pihaknya menyasarkan hingga satu juta pengunjung sebulan termasuk dari Selatan Thailand dan Perlis dengan kapasiti 30,000 ke 40,000 orang pada satu masa.

Katanya, kompleks beli-belah berkenaan dijangka dibuka sepenuhnya menjelang suku pertama tahun depan dan mempunyai keistimewaan tersendiri dengan membawa beberapa jenama terkenal di Kuala Lumpur ke Kedah.

“Kami berharap dengan pembukaan kompleks beli-belah ini memudahkan pengunjung tempatan dan luar yang mahu singgah ke Bandaraya Alor Setar bagi menikmati pengalaman baru membeli-belah, sekali gus menjadi pusat tarikan pengunjung sempena Tahun Melawat Kedah 2016 pada tahun depan.

“Sebelum ini, beberapa jenama bagi produk makanan dan minuman, fesyen, hiburan dan kosmetik tiada di mana-mana kompleks beli-belah di negeri ini menyebabkan penduduk tempatan terpaksa pergi ke Pulau Pinang, malah ke Kuala Lumpur untuk mendapatkannya.

“Kini, kami membawa jenama terbabit ke Alor Setar, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan termasuk dari Selatan Thailand dan Perlis yang berkunjung ke negeri ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pra pelancaran pusat beli-belah berkenaan, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 6:30 AM