HO (tiga dari kanan) pada majlis pembukaan Parkson di Kompleks Aman Central.
HO (tiga dari kanan) pada majlis pembukaan Parkson di Kompleks Aman Central.
Oleh Ahmad Saufi Mansor

Alor Setar: Parkson Corporation Sdn Bhd (Parkson) memiliki keyakinan pembukaan cawangan terbaru Parkson Aman Central, mampu memberi lebih pilihan kepada pelanggan menerusi suasana persekitaran membeli-belah gaya moden bagi memenuhi kehendak orang ramai.

Ketua Pegawai Operasinya, Law Boon Eng berkata, ia adalah kehadiran Parkson kedua di negeri ini selepas Parkson Ria di Taman Sejati, Sungai Petani yang mula beroperasi sejak 23 tahun lalu atau cawangan ke-44 di seluruh negara.

Menurutnya, dengan slogan Destinasi Membeli-belah Baru, cawangan berkeluasan 134,867 kaki persegi setinggi empat tingkat berkenaan menjadi pusat beli-belah terbesar di Bandaraya Alor Setar yang sememangnya ditunggu-tunggu kerana mampu menawarkan kepuasan kepada pembeli.

“Kami begitu menghargai kesetiaan pelanggan di Kedah kerana memberi sokongan kepada Parkson sejak kewujudan cawangan pertama di Sungai Petani pada 1992 lalu. Kehadiran cawangan baru di bangunan ikonik Aman Central menjadi bukti penghargaan kepada mereka.

“Ini kerana kita menyedari perkembangan pesat ekonomi di negeri ini dan keperluan terhadap persekitaran gaya membeli-belah moden dengan tawaran lebih banyak pilihan barangan demi kepuasan pelanggan,” katanya selepas Majlis Perasmian Pembukaan Parkson Aman Central, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Barangan Parkson, Natalie Cheng, Pengurus Besar Parkson (Projek Runcit) Cheong Tuck Yee, Pengurus Besar Parkson (Kewangan dan Pentadbiran) Lee Kong Huat dan Pengarah Urusan Belleview Group, Datuk Sonny Ho.

Bagi cawangan terbaru, Parkson memperuntukkan kos RM20 juta untuk kerja baik pulih dan pengubahsuaian di mana tingkat bawah menempatkan kosmetik dan pewangi, tingkat satu (pakaian wanita dan beg), tingkat dua (pakaian lelaki dan barangan sukan) manakala tingkat tiga (pakaian kanak-kanak, barangan elektrik, alat permainan dan kelengkapan rumah).

Dalam perkembangan sama, Law berkata, pelanggan yang berkunjung ke Parkson Aman Central membuat pilihan bijak kerana pihaknya menyediakan sebanyak 450 pilihan jenama berkualiti selain kawasan beli-belah yang luas dan selesa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 6:31 AM