SURAYA (dua kanan) diiringi Marcus (kanan) dan Chin menulis perkataan Jepun di atas payung tradisional Jepun sebagai simbolik perasmian Japan Endless Discovery di  Pasaraya Aman Central, Alor Setar, hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam
SURAYA (dua kanan) diiringi Marcus (kanan) dan Chin menulis perkataan Jepun di atas payung tradisional Jepun sebagai simbolik perasmian Japan Endless Discovery di Pasaraya Aman Central, Alor Setar, hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam
Noorazura Abdul Rahman


PUSAT beli-belah Aman Central di Alor Setar terus menjadi titik pembangunan di Kedah berikutan berjaya menarik jumlah pengunjung memberangsangkan setiap tahun sejak beroperasi pada Oktober 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Masyarakat Kedah Datuk Suraya Yaacob berkata, kejayaan pusat membeli belah bertaraf antarabangsa itu menarik lebih sejuta pengunjung setiap bulan, membuktikan ekonomi negara berada dalam keadaan baik.

“Pengunjung yang ke sini (Aman Central), bukan saja pengunjung dari negeri Kedah, malah pengunjung dari Thailand dan Perlis juga turut menjadikan Aman Central sebagai tempat untuk mereka membeli-belah.

“Tambahan pula, semasa musim perayaan utama seperti Hari Natal, Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri, jumlah pengunjung meningkat kepada 1.2 juta sehingga 1.3 juta pada bulan itu.

“Malah, peniaga kecil-kecilan berhampiran Aman Central turut mendapat limpahan, sekali gus memangkin ekonomi setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan acara "Japan Endless Discovery" di Aman Central, Alor Setar, hari ini.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Aman Central Marcus Tan dan Pengurus Kanan Pemasaran dan Komunikasi Aman Central Ken Chin.

Dalam pada itu, Suraya turut memuji pengurusan Aman Central apabila berjaya melakukan pelbagai promosi yang kreatif untuk menarik lebih ramai pengunjung ke pusat membeli-belah itu.

Sebagai contoh, katanya penganjuran "Japan Endless Discovery" akan memberi pengalaman berbeza buat pengunjung Aman Central sepanjang April ini.

“Setiap bulan Aman Central bijak mengatur strategi bagi menarik lebih ramai pengunjung, saya rasa usahawan di luar sana boleh menjadikan Aman Central sebagai contoh dalam strategi pemasaran.

“Sekiranya lebih ramai usahawan dapat melakukan usaha seperti Aman Central, kerajaan negeri yakin industri pelancongan di negeri ini akan terus berkembang pesat,” katanya.

Sebanyak 11 pameran berkaitan produk Jepun dipamerkan di ruang legar pusat beli-belah itu termasuk makanan popular dari Jepun iaitu kuih Mochi yang dihasilkan di Jeniang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 8:05 PM