YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) diiringi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (kiri) dan Pengarah Urusan Bellview Group, Datuk Sunny Ho berkenan merasmikan pasaraya Aman Central di Majlis Perasmian Aman Central, Alor Setar. FOTO Sharul Hafiz Zam
YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) diiringi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (kiri) dan Pengarah Urusan Bellview Group, Datuk Sunny Ho berkenan merasmikan pasaraya Aman Central di Majlis Perasmian Aman Central, Alor Setar. FOTO Sharul Hafiz Zam
Norul Awatif Romli


Alor Setar: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan merasmikan mercu tanda baru bandar raya Alor Setar iaitu Kompleks beli belah Aman Central terletak di Lebuhraya Darulaman, di sini, hari ini.

Baginda tiba di Kompleks Aman Central kira-kira 11 pagi sambil diiringi Pengarah Urusan Belleview Group yang juga pemilik Aman Central Datuk Sonny Ho.

Turut berangkat ialah Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dan Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan isteri Datin Seri Hizam Awang Ahmad bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Bakar Din serta Ahli Exco.

Dalam lawatan berkenaan baginda Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menandatangani Plak Perasmian sebagai gimik perasmian.

Kompleks beli-belah Aman Central, Pusat beli belah terbesar di Kedah itu dibangunkan dengan kos RM500 juta dan dibina di atas tanah seluas 1.25 juta kaki persegi dengan memiliki ruang perniagaan berkeluasan 11.6 hektar.

Sejak dibuka pada 1 Oktober tahun lalu, Kompleks beli-belah Aman Central mampu menarik sehingga 1 juta pengunjung setiap bulan dengan menawarkan pelbagai jenama yang pertama di Kedah seperti H&M, Uniqlo, Guess, Padini, Starbucks, Pandora, Baskin Robbins.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 12:34 PM