Khalid harap JDT bangkit beraksi di tempat sendiri.
Khalid harap JDT bangkit beraksi di tempat sendiri.
Gary Steven Robbat kecewa ketika pemain Qadsia meraikan kejayaan. - Pix WSG
Gary Steven Robbat kecewa ketika pemain Qadsia meraikan kejayaan. - Pix WSG
Oleh Esme Johari Wahab


Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan Khalid Ali berharap skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) bangkit mengubah keputusan kekalahan 1-3 di tempat lawan kepada Qadsia FC pada perlawanan pertama Piala Konfederasi Asia (AFC) malam tadi.

Juara Liga Super itu perlu memanfaatkan kelebihan tempat sendiri mendapatkan tiket final menewaskan juara bertahan itu pada pertembungan kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin Johor Bahru pada 20 Oktober depan.

“Pasukan Arab (Kuwait) dikenali memiliki pertahanan kental. Apapun saya harap pasukan JDT hadir dengan semangat baru, merencanakan strategi terbaik, bekerja satu pasukan, berfikir positif dan mengurangkan kesilapan.

“Memandangkan pasukan dihadapi juara bertahan Piala AFC jadi JDT perlu serius menghadapi gerakan mereka dan bekerja lebih keras (melawan) di sini. Satu gol diraih melalui Mohd Amri Yahyah berharga dan menyuntik motivasi,” katanya sebentar tadi.

Pada perlawanan di Stadium Kelab Sukan Kuwait malam tadi Qadsia mendapat gol pertama melalui Fuakuputu Doris Salomo (m-31) dan sepakan penalti kapten pasukan Bader Al Almotawaa (m-42).

Gol ketiga Qadsia m-57 hasil jaringan pemain import Guinea Seydouba Soumah.

Pemenang perlawanan JDT dan Qadsia FC akan berdepan pemenang satu lagi perlawanan separuh akhir antara Kuwait SC dan FC Istiklol untuk aksi final pada 1 November.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 5:54 PM