AFP

Kaherah: Kumpulan militan Mesir, Ansar Beit al-Maqdis, berikrar taat setia kepada Negara Islam (IS) di Iraq.

Pengumuman itu dibuat menerusi rakaman audio yang dimuat naik dalam akaun Twitter kumpulan itu, semalam.

“Kami mengumumkan taat setia kepada khalifah Ibrahim Ibn Waad, berikrar mendengar dan mematuhinya,” menurut kandungan rakaman itu, merujuk kepada pemimpin IS, Abu Bakr al-Baghdadi.

Ansar didakwa bertanggungjawab terhadap kempen keganasan yang dilancarkannya dari kubu kuat mereka di Semenanjung Sinai hingga menyebabkan ramai anggota polis dan tentera Mesir terbunuh sejak penggulingan Presiden Mohamed Mursi Julai tahun lalu.

Ia sebelum ini menyuarakan sokongan terhadap IS tetapi ini kali pertama ia berikrar taat setia.

Menurut kandungan ucapan itu lagi, Ansar menganggap Abu Bakar ‘dipilih oleh Tuhan’ untuk menubuhkan negara Islam baru Islam selepas masyarakat Muslim dimalukan selama puluhan tahun.

“Kerana itu, kita tidak ada pilihan kecuali berikrar taat setia kepada khalifah, mendengar dan mentaatinya. Kami menggesa semua masyarakat Islam turut berbuat demikian,” katanya, semalam.

Menteri Luar Mesir Hany Abdel Latif memberitahu AFP, pengumuman itu tidak mengubah langkah Mesir memerangi militan.

“Mereka hanya menggunakan nama berbeza untuk pengganas,” katanya.

Ansar Beit al-Maqdis yang bermakna Pejuang Baitulmaqdis ditubuhkan ketika ketiadaan keselamatan berikutan penggulingan Hosni Mubarak ekoran revolusi Kebangkitan Arab pada 2011.

Kumpulan itu melancarkan serangan merentas sempadan terhadap Israel di samping menyerang polis dan tentera Mesir.

Ia pernah menyuarakan hasrat melaksanakan undang-undang Islam dan bertindak balas terhadap pembunuhan penyokong Mursi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:06 AM