NORHIDAYAWATI menunjukkan buku Smart Tadris yang akan diperkenalkan pada tahun hadapan.
NORHIDAYAWATI menunjukkan buku Smart Tadris yang akan diperkenalkan pada tahun hadapan.
BERBINCANG dengan dua guru lain mengenai silibus pembelajaran.
BERBINCANG dengan dua guru lain mengenai silibus pembelajaran.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Pemilihan sekolah tadika untuk kanak-kanak bermula usia empat hingga enam tahun kini dianggap penting. Ini kerana peningkatan dalam proses pembelajaran di sekolah menjadikan ibu bapa sentiasa peka dengan keperluan semasa serta bersedia mendidik anak mengikut keinginan mereka.

Dengan persekitaran semasa, masalah sosial yang semakin meningkat, sekolah tahfiz yang

tumbuh bak cendawan selepas hujan menjadikan ibu bapa moden kini cenderung memilih tadika Islam untuk si kecil sebagai persediaan memasuki sekolah rendah.

Pada anggapan ibu bapa, walaupun bukan memasuki sekolah rendah agama semata-mata, memilih tadika Islam menjadi asas pembelajaran dunia akhirat serta mendedahkan mereka lebih awal mengenai pembelajaran al-Quran. Jika dulu ibu bapa menghantar anak mereka ke kelas pengajaran al-Quran, tetapi dengan adanya sekolah tadika Islam, anak kecil ini mempelajari asas bacaan al-Quran, hafazan dan Jawi secara lebih mendalam.

Menurut Pemilik Smart Reader Kids Bandar Baru Bangi Datin Norhidayawati Jaafar, dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini dia menerima banyak permintaan daripada ibu bapa yang meminta mata pelajaran agama diberi lebih penekanan selain mata pelajaran asas yang lain.

“Sebelum ini, kami menyediakan mata pelajaran klasik seperti Bahasa Melayu, Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris termasuk Fardu Ain di kelas, tetapi dengan pelancaran Smart Tadris, ilmu al-Quran diberikan penekanan dengan tambahan bahasa Arab, Jawi, akhlak dan ibadah.

“Keistimewaan Smart Tadris apabila silibus pembelajaran mengikut Smart Reader sendiri dengan bahan pembelajaran termasuk buku turut disediakan mengikut tahap dan keperluan pelajar pada usia empat, lima dan enam tahun,” katanya yang memulakan Smart Tadris sepenuhnya menjelang 2015 di semua cawangan Bandar Baru Bangi.

Menerusi Smart Tadris, tumpuan diberikan kepada subjek agama termasuk hafazan dan bacaan al-Quran. Kanak-kanak juga diajar mata pelajaran Jawi, akhlak dan ibadah sebagai persediaan membentuk jati diri menjadi pelajar berkaliber dan berjaya dunia dan akhirat.

Guru pula memberi penekanan kepada pelajar menerusi sesi pengajaran secara individu. Dengan setiap kelas memuatkan 12 pelajar, ia memberi peluang kepada guru menumpukan perhatian kepada setiap pelajar. Dengan ini setiap pelajar berpeluang mendalami al-Quran secara eksklusif dan tidak bimbang sekiranya ketinggalan.

“Sistem pembelajaran kami memberi tumpuan kepada kebolehan pelajar. Ia masih menggunakan pengajaran mengikut tahap kebolehan mereka dan sekiranya kanak-kanak ini masih belum menguasainya, dia berada pada tahap yang sama sebelum dibenarkan naik ke tahap seterusnya. Cara ini membolehkan semua pelajar mendapat ilmu yang sama dan tidak berasakan diri mereka ketinggalan,” katanya.

Dengan menyediakan kanak-kanak sistem pendidikan yang lengkap membabitkan apa yang diinginkan pihak sekolah serta ibu bapa, ia dapat melahirkan pelajar yang lebih bersedia terutama apabila melangkah ke sekolah rendah.

“Kanak-kanak sekarang semakin bijak manakala sistem pendidikan semakin maju ke hadapan. Pelajar yang masih ketinggalan seperti tidak mahir membaca atau menulis sudah pasti berada jauh ke belakang dan memerlukan teknik pengajaran eksklusif untuk mereka,” katanya.

Selain itu, dalam dunia sains teknologi dengan cabaran media sosial, mempunyai pendidikan agama yang kukuh sangat diperlukan. Ia bukan setakat memenuhi keperluan pembelajaran di sekolah sebaliknya benteng dalam dunia sebenar.

Untuk itu, pendidikan agama terutama asas al-Quran menjadikan kanak-kanak lebih bersedia menghadapi dunia luar. Lebih penting, Smart Tadris memberi peluang ibu bapa turut sama memantau perkembangan anak di rumah.

Memberi penekanan kepada tulisan Jawi, jelas Norhidayawati, pada masa sekarang kebolehan menulis dan membaca Jawi sangat penting. Apabila mereka dapat menguasai Jawi, secara tidak langsung bahasa Arab dan al-Quran menjadi lebih baik. Malah, ketika di sekolah rendah kanak-kanak sepatutnya mahir membaca dan menulis Jawi,” katanya yang benar-benar berharap konsep secara Islamik sepenuhnya dapat diterapkan menerusi Smart Tadris.

Menjadikan setiap silibus yang dihasilkan berkualiti dan mengikut konteks sebenar yang diperlukan di tadika, Smart Tadris mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selain melantik tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din Al Hafiz sebagai penasihat kehormat program ini.

Pemilihan Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz bersesuaian dengan konsep Islam yang diperkenalkan terutama dari segi penyediaan buku serta silibus pembelajaran. Malah pada tahun depan, semua kanak-kanak perempuan memakai pakaian seragam sekolah berlengan panjang dan memakai tudung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 7:45 AM