KHIR Toyo. FOTO Bernama
KHIR Toyo. FOTO Bernama
Oleh Murni Wan Omar


Putrajaya: Mahkamah Persekutuan sebentar tadi mengekalkan hukuman penjara 12 bulan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo atas kesalahan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan tanah dan unit banglo lapan tahun lalu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan Mohamad Khir, 50.

Mahkamah juga dalam keputusannya mengarahkan Mohamad Khir dilucutkan hak terhadap hartanah yang dimilikinya dan akan diserahkan kepada kerajaan tertakluk kepada caj bank.

Dalam keputusannya, Hakim Zulkefli berkata, hukuman berbentuk khidmat masyarakat tidak bersesuaian untuk kesalahan jenayah rasuah.

Menurutnya, hukuman penjara adalah paling sesuai kerana khidmat masyarakat hanya sesuai untuk pesalah muda dan kesalahan ringan.

Mohamad Khir kelihatan tenang selepas keputusan dibacakan dan kelihatan bersalaman dengan pengikutnya sebelum beredar untuk di bawa ke lokap.

Mohamad Khir dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 50, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya Datuk Shamsuddin Hayroni.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 Shah Alam pada 29 Mei 2007.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 2:37 PM