Kuala Lumpur: Buat julung kalinya, kadar perkapita Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang kini menuju status negara membangun, melebihi kadar purata semua negara di seluruh dunia iaitu AS$10,830 pada 2014 berbanding negara lain berjumlah AS$10,804.

Berdasarkan data Bank Dunia menunjukkan kadar perkapita KDNK negara pada 2010 ialah AS$8,752, iaitu 8.0 peratus di bawah purata dunia iaitu AS$9,513.

Kejayaan Malaysia ini diperoleh menerusi Laporan Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) yang mengadakan mesyuarat tahunan ke-5 di Manhattan, Amerika Syarikat, semalam.

Penasihat Sains kepada Perdana Menteri dan Pengerusi Bersama MIGHT, Tan Sri Zakri Abdul Hamid berkata, walaupun Malaysia berdiri teguh di landasan untuk mencapai status negara maju, namun banyak yang perlu dilakukan untuk mencapai sasaran purata kapita AS$15,000.

“Secara inklusif dari 2015 sehingga 2020, KDNK perkapita Malaysia perlu ditambah sebanyak AS$695 setiap tahun secara puratanya,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, peningkatan itu adalah baik dalam unjuran Rancangan Malaysia ke-11 yang dijangka pelaburan dan penggunaan swasta untuk memacu pertumbuhan pendapatan negara kasar per kapita sebanyak 7.9 peratus setahun.

Beliau juga menekankan bahawa sains, teknologi dan inovasi adalah penting kepada kejayaan Rancangan Malaysia ke-11.

Selain itu, dalam laporan Indeks Inovasi Global (GII), Malaysia berada pada kedudukan ke-32 di dunia secara keseluruhan, berbanding 33 tahun sebelumnya bagi negara berpendapatan sederhana.

Laporan itu menyatakan kestabilan politik, aliran masuk pelaburan langsung asing dan perindustrian berorientasikan eksport untuk kejayaan transformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan sederhana tinggi.

Sekretariat Bersama GSIAC terdiri daripada Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan New York Academy of Sciences (NYAS).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 6:31 AM