JOEL Tan atau Gentle Bones makin dikenali.
JOEL Tan atau Gentle Bones makin dikenali.
Oleh Georgie Joseph


Kehadiran YouTube mungkin pemangkin terbaik untuk membuka ruang kepada pemuzik, penyanyi dan pengkarya kreatif yang lain. Mana tidak, sebaik saja video itu menjadi viral, serta-merta ia akan jadi popular.

Bagaimanapun, popular saja tidak semestinya menjadikan seseorang penyanyi mahupun pemuzik itu bagus. Hakikatnya, ramai penyanyi di YouTube hanya popular kerana menyanyikan lagu orang, tetapi kurang memberangsangkan apabila tampil dengan lagu sendiri.

Tidak menafikan menjadi popular dan dikenali menerusi laman itu sesuatu yang menyeronokkan, penyanyi muda dari Singapura, Joel Tan atau popular sebagai Gentle Bones, 21, bagaimanapun memilih tidak mahu dilabel sensasi YouTube.

Joel boleh dikatakan baru bermula secara serius dalam bidang muzik dan sebenarnya dia mula petik gitar pun baru lagi iaitu pada 2012. Apapun, atas bakat luar biasa serta berjaya mendapat hala tuju muziknya, pada tahap sekarang dia layak dibanggakan.

Menarik perhatian ramai menerusi lagu Until We Die, dia juga ternyata cukup popular menerusi laman sosial termasuklah YouTube. Bagaimanapun, dia jelas lebih sukakan popularitinya datang daripada muziknya berbanding dipanggil sensasi YouTube.

“Lahir pada era yang mana laman sosial sangat berkuasa, memang jelas ia sangat penting sebagai strategi pemasaran. Hakikatnya, ramai juga pemuzik yang menggunakan saluran sedemikian kerana ia sangat membantu.

“Contohnya band The 1975, mereka menjual segala hasil karya seni sendiri menerusi laman sosial dan ia ternyata sangat bijak. Saya pun mahu berbuat demikian di mana populariti hadir disebabkan kekuatan karya saya dan bukannya bergantung kepada sambutan di YouTube,” katanya.

Pernah mengganggotai band rock tidak lama dulu, Joel bagaimanapun menyedari dia ternyata lebih sukakan muzik akustik. Disebabkan itu, dia mengambil langkah bergerak sendiri demi melunaskan impiannya.

Menurutnya lagi, dia pun sebenarnya baru menyedari hala tuju genre muzik terbaik buatnya pada 2012 lalu. Kini memperjuangkan genre muzik folk, penyanyi British, Ed Sheeran antara yang mencetuskan inspirasi buatnya.

“Saya hanya benar-benar jumpa hala tuju terbaik muzik saya sewaktu merakamkan lagu Until We Die untuk EP pertama saya. Ketika itu, saya cuma mahu pastikan lagu dalam EP itu konsisten dan dalam proses itulah penemuan itu berlaku.

“Tidak dinafikan, Ed Sheeran juga menjadi antara pencetus terbesar inspirasi buat saya di mana sebaik album pertamanya dilancarkan pada 2011, tahun seterusnya saya terus belajar gitar.

“Bukan meniru, namun ‘stail’ dia cukup kena dengan jiwa saya di mana saya sukakan muzik ringkas, melodi kompleks dan kesederhanaan,” katanya.

Ditemui sewaktu kunjungan promosi sulungnya ke Kuala Lumpur baru-baru ini, Joel juga tidak pernah menyangka peminatnya di sini ramai. Dia mengakui sangat terharu dengan sambutan yang ditunjukkan peminat di Malaysia.

“Itu adalah antara transisi terbesar dalam karier saya. Selain video saya di YouTube semakin meningkat jumlah tontonnya, saya mula dikenali setiap kali berjalan dalam khalayak.

“Begitu juga di Malaysia, ada yang datang pada saya dan jujurnya masih tidak percaya dengan situasi itu apa lagi membabitkan peminat dari luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2015 @ 5:05 AM