BARAN filem seram pertama menggandingkan Farid dan Diana sebagai teraju utama.
BARAN filem seram pertama menggandingkan Farid dan Diana sebagai teraju utama.
Georgie Joseph

IMPIAN Farid Kamil, 42, mahu membintangi filem terbaik tercapai apabila menjadi teraju utama filem seram buat pertama kali menerusi filem Baran arahan Joel Soh.

Farid berkata, banyak perkara baharu dirasainya sepanjang penggambaran filem itu yang dimulakan sejak awal tahun ini.

Lebih mengujakan adalah penggunaan kepakaran kesan mekap dari luar negara yang ditugaskan untuk mempersiapkan wataknya. Proses itu juga sangat panjang dan teliti.

"Saya dibawa ke Thailand untuk proses kesan mekap khas pada bahagian tangan setiap separuh badan saya. Ada tiga pelakon Malaysia terbabit penghasilan kesan khas menggunakan 'latex' itu.

"Saya berada di sana selama dua hari dan mengambil masa sehari suntuk untuk acuan badan saya dihasilkan. Kepakaran itu belum ada di Malaysia, jadi kena ke sana," katanya.

Farid berkata, pengalaman itu membuka matanya apatah lagi kesan mekap khas sebegitu sukar dilakukan di Malaysia. Justeru, dia sangat gembira dapat merasai pengalaman itu.

Katanya, untuk mendapatkan khidmat pasukan terbabit pun bukan mudah. Ini kerana pakar itu mendapat permintaan tinggi dalam produksi antarabangsa.

"Itu juga sebab penggambaran filem itu akan ambil masa hingga Julai nanti. Jadual perlu diselaraskan dengan jadual pasukan kesan khas mekap Thailand itu yang turut terbabit untuk filem Hollywood," katanya.

Farid paling teruja untuk membintangi filem itu disebabkan beberapa aspeknya yang kukuh. Katanya, apa yang dipamerkan untuk wataknya amat mengagumkan.

"Buat pertama kali saya berlakon dalam filem genre seram begini sebagai watak utama. Sebelum ini, saya cuma watak pembantu. Kali pertama juga digandingkan dengan isteri saya dalam filem seram.

"Perbezaan sangat ketara dari segi lokasi, jalan cerita dan kesan khas. Untuk saya, banyak babak yang tak pernah buat sebelum ini seperti kepak dan patahkan jari sendiri," katanya.

Lebih istimewa, Baran juga menjadi filem seram pertama yang menggandingkan Farid dan isteri, Diana Danielle sebagai teraju utama. Tentu sekali hal itu bonus terpenting filem terbabit.

Bagaimanapun, Farid mengakui agak sukar mencari filem yang mampu membuatkan dia dan Diana sepakat melakukannya. Baran nyata tepat buat mereka.

"Sebenarnya kami mencari filem yang tidak bercanggah dengan kehidupan kami sebagai suami isteri. Bila dapat tawaran itu, saya dapati skripnya sangat berbeza berbanding yang saya baca sebelum ini.

"Apabila dapat tahu digandingkan dengan Diana, saya dapati ia perkara baharu yang boleh kami terokai bersama. Akhirnya saya bersetuju bekerja dalam satu filem yang sudah dinanti-nantikan sejak dulu," katanya.

Farid juga teruja apabila dapat terbabit secara total dengan Diana dalam filem itu. Mereka bersama-sama dapat memastikan proses menghidupkannya akan dilaksanakan sebaiknya.

"Ada tawaran berlakon sebuah filem, tetapi tidak mempunyai babak yang sama. Kali ini, kami banyak babak bersama dan memperuntukkan kami watak sebagai suami isteri. Ia filem yang amat mencabar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 6:30 AM