DR Bong menunjukkan ilustrasi hati yang sudah mengeras akibat sirosis. FOTO Aziah Azmee
DR Bong menunjukkan ilustrasi hati yang sudah mengeras akibat sirosis. FOTO Aziah Azmee
Zaitie Satibi

Hati adalah organ terbesar di dalam tubuh manusia. Ia mempunyai tugas penting yakni menapis dan memproses darah bagi sisihkan bahan toksik; membantu sintesis protein darah, glukos dan kolesterol; sebagai stor simpanan vitamin larut lemak, zat besi dan glikogen; ejen penyingkiran serta meningkatkan daya ketahanan badan.

Selain sebagai organ dalaman tunggal terbesar, hati juga bertindak sebagai kelenjar berikutan ia menghasilkan dan merembeskan hempedu. Hati juga satu-satunya organ dalaman yang boleh tumbuh semula biarpun berbaki kira-kira cuma 30 peratus saiz asal. Ini dilakukan menerusi penghasilan sel hati dikenali sebagai hepatocytes.

Bagaimanapun, penyakit seperti Hepatitis A, Hepatitis B, Hepatitis C, hati berlemak dan pengambilan alkohol serta zat besi berlebihan boleh mendatangkan kerosakan pada organ ini. Seterusnya mengakibatkan kesan yang lebih serius iaitu kegagalan fungsi hati yang boleh mengundang maut jika penyakit hati berada pada peringkat akhir.

Kerosakan hati bermula apabila organ ini membengkak akibat penyakit terbabit seterusnya menular menjadi fibrosis iaitu hati berparut dan lama-kelamaan, hati akan mengeras menjadi sirosis.

Fibrosis berlaku sebagai tindak balas terhadap kerosakan pada hati. Setiap kali berlaku kecederaan pada hati, sel hati baharu akan dihasilkan oleh badan untuk menggantikan sel yang rosak. Proses pemulihan hati oleh sel baharu itu menghasilkan pengumpulan sel (nodul) dan parut pada hati.

Semakin banyak parut tisu terbentuk pada hati menyebabkan struktur hati terganggu sehingga menjejaskan fungsinya. Sirosis adalah tahap akhir fibrosis dan ini adalah kerosakan hati yang teruk hingga boleh menyebabkan kematian sel hati.

Perunding Am dan Pakar Bedah Hepatobiliari Pankreas, Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Bong Jan Jin berkata, penyakit berjangkit Hepatitis B dan Hepatitis C serta pengambilan minuman keras berlebihan menyumbang kira-kira 80 peratus masalah kerosakan hati manakala bakinya disumbang punca lain seperti masalah hati kongenital dan hati berlemak.

“Hati kita menjalankan beberapa fungsi penting, antaranya membuang toksin berbahaya di dalam tubuh, membersihkan darah serta menghasilkan nutrien penting.

“Organ ini menerima bekalan darah yang banyak terutama daripada salur darah vena. Salur darah ini akan masuk ke dalam hati dan berpecah menjadi saluran kecil yang berhubung dengan sel hati. Darah yang masuk akan ditapis dan menerima bahan-bahan tertentu daripada hati.

“Apabila sirosis berlaku, proses ini terganggu. Parut tisu yang terbentuk menyebabkan saluran darah tersumbat sehingga darah mengalir ke belakang (back flow). Keadaan ini menaikkan tekanan darah di dalam abdomen yang disebut ‘portal hypertension’,” katanya.

Ketika tekanan darah dalam portal meningkat, darah mencari atau diarahkan semula ke saluran darah yang lebih kecil. Tekanan tambahan boleh mengakibatkan saluran vena kecil pecah dan berlaku pendarahan melampau.

SALURAN darah varices dalam esofagus yang pecah, menyebabkan pesakit muntah darah.
SALURAN darah varices dalam esofagus yang pecah, menyebabkan pesakit muntah darah.

Tekanan darah yang tinggi dalam portal juga menyebabkan pembengkakan pada limpa (splenomegaly) dan memerangkap sel darah putih serta platelet. Seterusnya bilangan sel darah putih dan platelet dalam darah berkurangan. Sekiranya bilangan terlalu rendah, pendarahan melampau mungkin berlaku.

“Selain itu, tekanan darah yang tinggi dalam portal juga menyebabkan saluran darah yang nipis (varices) dalam esofagus atau perut menjadi kembang dan mengancam nyawa berikutan apabila salur darah ini pecah, pesakit akan mengalami muntah darah.

“Pesakit yang menghidap sirosis boleh mendapat komplikasi lain seperti pengumpulan cecair di dalam abdomen (ascites) menyebabkan perut membusung dan pembentukan cecair dalam tangan dan kaki (edema) berikutan sirosis menyebabkan perubahan pada nisbah protein dalam badan yang penting dalam mengekalkan kestabilan cecair. Apabila ia terganggu, cecair akan terkumpul termasuk pada tangan dan kaki serta ruang abdomen,” katanya.

PERUT membusung kerana cecair terkumpul di dalam abdomen akibat komplikasi sirosis.
PERUT membusung kerana cecair terkumpul di dalam abdomen akibat komplikasi sirosis.

Dr Bong berkata, pesakit yang menghidap sirosis juga berisiko tinggi untuk mendapat kanser hati atau hepatoma. Malah, kerosakan pada hati akibat sirosis umumnya tidak dapat dipulihkan.

“Apabila hati mengeras, sel hati mula mati dan ini akan menjejaskan fungsi hati. Pesakit yang menghidap sirosis juga berisiko tinggi untuk mendapat pelbagai komplikasi termasuk kanser hati.

“Bagi pesakit yang menghidap penyakit hati kronik, rawatan terbaik adalah melakukan pemindahan hati. Namun, kaedah ini jarang dapat dilakukan kerana negara kita kekurangan penderma organ hati,” katanya.

Namun jika puncanya dapat dikenal pasti lantas diberi rawatan awal, kerosakan yang lebih teruk boleh dihindari malah kadangkala ia boleh dipulihkan.

Fakta

Peringkat sirosis hati

• Tahap 1: Parut tisu terbentuk bersama beberapa gejala tetapi tiada komplikasi dan hati masih berfungsi.

• Tahap 2: Tekanan darah tinggi dalam portal yang teruk dan saluran varices mengembang.

• Tahap 3: Abdomen membengkak dan hati makin mengeras, komplikasi serius muncul dan berkemungkinan kegagalan hati.

• Tahap 4: Kegagalan hati tahap akhir dan perlukan pemindahan organ.

Antara gejala dan tanda biasa sirosis

• Kulit dan putih mata menjadi kuning (jaundis) akibat pengumpulan bilirubin dalam darah.

MATA berwarna kuning atau jaundis tanda penyakit hati.
MATA berwarna kuning atau jaundis tanda penyakit hati.

• Mudah penat.

• Hilang selera makan.

• Kulit mudah lebam dan berdarah akibat kurang faktor pembekuan berpunca daripada hati yang berpenyakit.

• Gatal-gatal.

Langkah kurangkan risiko sirosis

• Jangan ambil minuman keras

• Amalkan pemakanan seimbang berasaskan sayur dan buah sambil elak makanan bergoreng dan berlemak.

• Kekalkan berat berdasarkan indeks jisim tubuh (BMI).

• Hindari jangkitan hepatitis dengan langkah pencegahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 9:00 AM