Agensi

Riyadh: Putera Mahkota Arab Saudi, Mohamed Nayef memerintahkan siasatan menyeluruh kejadian rempuhan di Mina pada hari pertama Aidiladha, kelmarin, yang mengakibatkan 717 maut dan lebih 800 cedera.

Hasil siasatan akan diserahkan kepada Raja Salman untuk tindakan seterusnya, lapor agensi berita Saudi Press. Pihak berkuasa Arab Saudi masih mengemas kini jumlah sebenar kematian.

Sementara itu beberapa pihak termasuk Iran mempersalahkan kerajaan Arab Saudi malah ada saksi mendakwa polis di lokasi tidak dilatih secukupnya selain sukar berkomunikasi dengan jemaah yang kebanyakannya warga asing.

Ada yang bimbang untuk meneruskan ibadah haji, tetapi seorang jemaah, Abubakar yang juga wartawan AFP berkata, keadaan lebih terkawal dan teratur semalam.

“Tidak mungkin kejadian kelmarin berulang,” katanya.

Pasukan keselamatan khas turut diletakkan di sekitar Mina dengan puluhan askar mengawal keselamatan di setiap tahap jambatan lima tingkat di kawasan melontar.

Sementara itu, ketua organisasi haji Iran, Said Ohadi mendakwa dua laluan ditutup berhampiran lokasi melontar tidak jauh dari tempat rempuhan berlaku.

“Sebab penutupan tidak diketahui namun ia punca kejadian berkenaan.

“Disebabkan itu, hanya tiga laluan wujud ke tempat melontar,” katanya.

Sekurang-kurangnya 131 jemaah Iran dilaporkan maut dalam kejadian itu. Antara mangsa maut lain tujuh dari Pakistan dan tiga Indonesia selain dari Mesir, Turki, India serta Pakistan. Kementerian haji dan hal ehwal agama Afghanistan berkata, lapan jemaahnya masih hilang.

Sementara itu, jemaah Nigeria Aminu Abubakar berkata, laluan dipenuhi mayat serta orang cedera namun dia terselamat kerana berada di depan.

“Ada rakan jemaah melihat kanak-kanak maut walaupun ibu bapa berusaha menyelamatkan mereka dengan mencampakkan ke atas khemah berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2015 @ 5:04 AM