Ipoh: Pelaksanaan pelan rasionalisasi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan dipantau oleh satu jawatankuasa khas yang sudah diwujudkan di Kementerian Kewangan bagi memastikan ia berjalan lancar.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, jawatankuasa khas itu akan bermesyuarat setiap minggu dalam memastikan pelan berkenaan mengikut jadual, sekali gus dapat menyelesaikan masalah dihadapi syarikat terbabit.

“Saya yakin masalah dapat diselesaikan kerana 1MDB mempunyai aset yang mempunyai potensi besar yang menarik minat pelabur asing.

“Kami hanya perlu membuat keputusan (atas pelabur yang betul),” katanya.

Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, 1MDB mempunyai kedudukan aset kewangan dan hartanah bernilai tinggi yang mampu membantu untuk melaksanakan pembayaran hutang dan pemulihan syarikat.

“1MDB mempunyai kewangan, Edra Tenaga, Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange (TRX). Ini adalah aset berharga yang menarik pelabur dan mereka (pelabur) sudah mengemukakan cadangan untuk mengambil bahagian (melabur) di dalamnya, tetapi ia akan mengambil masa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 5:10 AM