UNIC muncul dengan album istimewa UNIC Greatest Hits di pasaran sejak Mac lalu.
UNIC muncul dengan album istimewa UNIC Greatest Hits di pasaran sejak Mac lalu.
Oleh Norhayati Nordin


Selepas 13 tahun bertapak dalam industri hiburan tanah air, daripada dianggotai empat anak muda yang kemudian menjadi tiga orang dan kini akhirnya UNIC selesa bergerak secara duo.

Bagi meneruskan kesinambungan perjuangan UNIC dalam mengetengahkan irama nasyid, Bazli Hazwan Che Osman atau Bazli, 31, dan Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin (Fakhrul), 29, menghasilkan album UNIC Greatest Hits.

Sudah berada di pasaran sejak Mac lalu, album UNIC Greatest Hits memuatkan 17 lagu termasuk lima daripadanya adalah karya baru. Ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini, Bazli berkata meskipun sekarang UNIC bergerak secara duo, hanya dia dan Fakhrul, namun perjuangan tetap diteruskan dengan semangat waja.

“Buat masa ini kami selesa bergerak berdua dan album UNIC Greatest Hits ini bukti kerjasama baik kami. Tak dinafikan, agak mudah sebenarnya apabila kerja berdua.

“Terutama, dalam membuat keputusan. Ditambah, pengurusan masa dan memupuk persefahaman di antara kami juga tidak menjadi masalah,” katanya.

Menganggap bergerak secara duo juga cabaran besar buat UNIC, Bazli berkata dengan terhasilnya album UNIC Greatest Hits itu adalah buat tangan terbaru buat peminat.

Antara lima lagu baru dimuatkan dalam album UNIC Greatest Hits, Syamail Muhammadiah, Pesona Ramadhan, Seindah Sabar dan Binnabil Huda ciptaan Bazli yang diberi nafas baru dengan rakaman secara bersama dengan penyanyi nasyid dari Perancis, Mounir Le Rappel.

Proses rakaman bersama dibuat secara maya itu memberi peluang kepada peminat UNIC mendengar alunan lagu Binnabil Huda dalam versi edisi bahasa Perancis, Melayu dan Inggeris.

Fakhrul pula berkata seiring pengalaman yang ditimba UNIC sepanjang aktif dalam industri, mereka sentiasa bersedia menerima perubahan baru.

“Kami (UNIC) sedar betapa peminat dan pendengar muzik kini cukup memiliki pengetahuan luas dalam bidang seni. Bahkan, banyak perubahan baru yang berlaku.

“Peminat kini terutama generasi muda amat arif dengan perkembangan teknologi. Jadi, bagi terus meng­gerakkan perjungan UNIC, saya dan Bazli sentiasa sedia mencuba perkara baru,” katanya.

Menurut Fakhrul lagi, antara perkara baru dilakukan UNIC dengan berani apabila melakukan rakaman secara maya untuk lagu Binnabil Huda itu bersama Mounir yang berada di Perancis.

Lebih 1,000 unit sudah dijual. Antara lagu lain disisipkan dalam album itu, Maha Suci Allah, Hijrah, Ikramul Kareem, Sangkar Hati, Ubatan Hakiki, Atas Nama Cinta, Menuju Wawasan, Iqra’, Seiring Sehaluan, Bintang Syurga, Langkah Tercipta, Warkah Cinta dan Solatlah Wahai Permata Hatiku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 12:05 PM