Oleh Nor Akmar Samudin

Atas dasar perjuangan, kumpulan nasyid Destiny tampil dengan album ketiga berjudul Indah.

Lagu berjudul sama ciptaan Daqmie dan lirik oleh Ito Lara itu turut dipertaruhkan sebagai single kedua selepas kemunculan single pertama, Arah (2012) ciptaan sepenuhnya Bazli Hazwan UNIC.

Destiny yang ditubuhkan pada 2007 dianggotai Norrizal Ismail, 31 dan pasangan kembar, Muhammad Rozi Harun, 27 serta Muhammad Saufi Harun, 27. Selain berkecimpung secara aktif dalam bidang muzik, Rizal dan Saufi berkhidmat sebagai guru manakala Rozi pula jurutera.

Destiny pernah menghasilkan album berjudul Destiny pada 2010 disusuli album kedua, Bersama Rindu setahun kemudian.

Menurut Rizal, pembikinan album Indah dirancang pada 2013 dan hanya bersedia memulakan rakaman pada 2014. Album yang memuatkan 12 lagu itu siap sepenuhnya awal tahun ini.

Katanya lagi, lagu indah mengisahkan keindahan alam ciptaan Allah SWT kerana sesungguhnya Allah SWT itu indah dan amat sukakan keindahan. Setiap ciptaan-Nya juga memberi faedah kepada makhluk dan menjadi panduan dalam hidup.

“Indah melalui ‘perjalanan’ yang agak panjang kerana kami mahukan kualiti dan kesempurnaan dalam penghasilannya. Daripada 12 lagu itu, enam lagu baru dan selebihnya lagu lama dipetik daripada dua album terdahulu yang diberi nafas baru.

“Lagu lama yang dimuat dalam album ini adalah Hati Kata Rindu, Cinta Sepi Indah, Arah, Tandus, Kata Maaf dan Bersama Rindu sementara lagu baru pula Indah, Ya Robbibil Mustofa, Dia Penentu Segala, Subhanallah, Hasbi Hosbi dan Lagu Salawat,” katanya.

Jelas Rizal, hampir keseluruhan susunan muzik dalam album itu menggunakan khidmat Along Exist kerana sentuhan pemuzik handalan itu menepati cita rasa mereka.

“Lagu Indah pernah menjuarai carta radio Ikim.FM. Lagu ini ciptaan Daqmie sebelum terbitnya lagu Ta­ngis Sebatang Camar dan lirik ilham Abang Ito Lara.

“Dengan kekuatan muzik dan liriknya, kami berharap Indah dapat meraih kejayaan seperti mana Tangis Sebatang Camar yang menjuarai Lagu Nasyid Terbaik Anugerah Nasyid Ikim FM 2014,” katanya.

Berkongsi pengalaman tahun dalam industri hiburan tanah air, Rizal yang turut berkhidmat secara sambilan dengan radio Ikim.FM berkata, Destiny melakukan perubahan muzik setiap kali menghasilkan album, malah mereka mengikuti perkembangan muzik semasa agar kena dengan selera peminat.

“Menerusi album pertama kami mengetengahkan muzik tradisional nasyid. Album kedua pula diberi sentuhan muzik yang lebih segar dan kami menghadiahkan sesuatu yang istimewa kepada peminat dalam album Indah.

“Destiny tidak mahu terikat dengan satu genre muzik saja apabila lagu kami ada berentak balada dan slow rock. Setiap album ada peningkatan jumlah pendengar dan kami sangat terkejut apabila ada peminat berbangsa India serta pengikut dari Scotland.

“Mereka mendengar lagu itu di Facebook dan sukakan melodinya. Benar, muzik adalah universal dan kami amat terharu kerana orang luar turut meminati lagu Destiny.

“Perkembangan menarik itu kami ketahui ketika membuat persembahan di pesta buku di PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra) baru-baru ini apabila peminat dari Scotland itu ada sama. Biarpun tidak memahami lirik lagu dia menghayati melodinya,” katanya sambil memaklumkan ada perancangan menerbitkan klip video lagu Indah.

Dalam usaha memodenkan muzik nasyid, Destiny tetap mendapatkan pandangan daripada ‘otai’ nasyid terutama Rabbani, Raihan dan Hijjaz. Dengan restu merekalah, Destiny cuba memberi nafas baru kepada muzik nasyid.

Album Indah terbitan Music Space Sdn Bhd, edaran Arteffect International dan Sony Music yang turut mendapat tajaan Whosalemart Bussines Point Sdn Bnd (WMBP)

Destiny berhasrat menghasilkan album Bacaan Ayat-Ayat Al-Quran, Zikir, Selawat dan Qasidah sepenuhnya selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 11:03 AM