Oleh Sudirman Mohd Tahir


Lebih sedekad bergelar pelakon, dramatis popular, Rita Rudaini, 39, menjayakan pelbagai watak. Malah, kebanyakan karakter dijayakan meninggalkan kesan di hati penonton.

Pendek kata, mutu lakonan dipersembahkan berjaya meletakkan ibu kepada dua cahaya mata ini di kelas tersendiri.

Meskipun kini bergelar senior, itu bukan kelebihan untuknya berlagak diva dan bersikap mendabik dada.

Bagi Rita, selagi masih bergelar pelakon, selagi itu dia terus belajar. Malah, pelakon filem Anak Mami The Movie ini sedia menerima teguran dan tunjuk ajar daripada pengarah atau pelakon senior lain.

“Setiap kali berada di lokasi penggambaran, saya anggap ia proses pembelajaran. Tidak bermakna sudah lama dalam bidang ini semuanya sempurna. Ada ketika watak diberikan itu perlukan perubahan dari segi penyampaian.

“Walaupun watak yang diberikan pernah dibawa sebelum ini, sesetengah pengarah mahukan kelainan. Jadi saya tak kisah jika pengarah menegur atau cuba membetulkan cara lakonan.

“Jangan lihat teguran itu dari sudut negatif, sebaliknya terima ia sebagai satu latihan baru. Pada saya, bekerja dengan pengarah berbeza satu kesempatan sangat berharga,” katanya.

Pada usia ini, Rita bersyukur kerana masih menjadi pilihan penerbit dan stesen TV menjayakan watak utama, malah dia tidak menolak sekiranya tampil sebagai pelakon pembantu.

“Memang saya selalu dapat watak utama. Sesekali tampil sebagai pelakon pembantu seronok juga. Apatah lagi jika karakter itu lebih santai.

“Saya tak rasa ia menjatuhkan kredibiliti dan kedudukan saya, sebabnya kalau menjayakan watak itu dengan bagus, pasti ia dikenang. Perlu diingat, pelakon pembantu turut memainkan peranan penting dalam sesebuah karya,” katanya.

Terbaru, Rita muncul dengan filem Love, Supermoon yang bakal menggegarkan pawagam seluruh negara pada 22 Oktober depan.

Melakonkan watak Nina, sahabat kepada Nadiya Nisaa selaku pelakon utama, antara babak dijayakan menyaksikan Rita cukup beremosi membabitkan kisah lelaki curang.

“Mungkin pernah terjadi pada diri sendiri, jadi perasaan itu muncul secara semula jadi. Bukan saja dalam lakonan, tapi di Instagram juga ada ketikanya saya bercakap perkara ini,” katanya.

Ironinya, Rita seringkali dihujani pertanyaan berhubung permasalahan dalam perhubungan.

“Ramai minta alamat e-mel saya kerana mahu ajukan pertanyaan secara peribadi. Buat masa ini, saya tak beri lagi kerana bimbang nasihat saya kurang tepat atau disalah tafsir.

“Cuma apa saya selalu lakukan adalah membalas komen mereka dengan memberi kata-kata perangsang,” katanya.

Filem terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd itu turut menampilkan anak sulung Rita, Airit Rayyan Rizqin, 6, dalam beberapa babak.

“Pembabitan Rayyan secara kebetulan. Memandangkan lokasi penggambaran ketika itu berdekatan rumah, jadi saya bawa dia ke lokasi. Hendak dijadikan cerita, anak saya dalam cerita itu meragam dan tak nak berlakon.

“Lantas produksi memujuk saya membenarkan Rayyan menggantikan watak kanak-kanak itu. Agak susah juga nak mengajarnya, apatah lagi banyak konti perlu dijaga,” katanya.

Ditanya kesediaannya sekiranya Rayyan ditawarkan berlakon lagi selepas ini, Rita berkata, dia tidak akan membenarkan nya kerana perlu mengambil kira keadaan anaknya itu.

“Buat masa sekarang saya tak benarkan lagi. Selagi dia tak cakap nak buat perkara itu, saya memang tak nak paksa. Walaupun sebelum ini banyak tawaran datang, dia tak mahu.

“Rayyan selalu menyuarakan hasrat mahu bergelar ustaz apabila dewasa nanti dan sebagai ibu sudah tentu saya menyokong apatah lagi ia kerjaya yang sangat murni,” kata Rita yang tidak menolak sekiranya tawaran yang datang berkonsepkan sesi fotografi atau iklan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 8:03 AM