KUCHING: Polis menahan seorang lelaki berumur 30 tahun awal hari ini yang disyaki terbabit dalam rompakan di kedai emas di Jalan Carpenter di sini, tiga hari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisoner Dev Kumar MM Sree Shunmugam berkata, siasatan mendapati suspek bekerja di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Jalan Badaruddin di sini.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 4.30 petang Sabtu lalu, suspek yang memakai topi keledar berpenutup penuh merempuh masuk kedai emas itu lalu melarikan sejumlah barang kemas bernilai kira-kira RM20,000 selepas memecahkan kaca ruang pameran kedai.

Katanya suspek yang cedera di tangan kanannya ketika melakukan rompakan, kemudian melarikan diri dengan membonceng motosikal rakannya yang menunggu di luar kedai.

"Kira-kira 6 pagi ini, sepasukan polis dari unit D9 Jabatan Siasatan Jenayah diketuai Deputi Superintenden Sarifuddin Mustaffa menahan suspek di kediamannya di Petrajaya dan menemui semua barang kemas tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dev Kumar berkata, polis turut menemui baju yang mempunyai kesan darah, dipercayai dipakai suspek ketika melakukan rompakan.

Beliau berkata, polis akan menghantar unit penyelam ke tasik di Petrajaya di sini untuk mencari sepana yang dipercayai digunakan dalam rompakan itu.

"Kami menganggap kes ini berprofil tinggi kerana rompakan kedai emas jarang-jarang sekali berlaku di Sarawak," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 1:04 PM