BARANG curi yang ditemui semula. FOTO ihsan Polis
BARANG curi yang ditemui semula. FOTO ihsan Polis
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuching: Polis menyelesaikan dua kes rompak dalam tempoh 24 jam dengan menahan pasangan kekasih berhampiran Matang Mall, Petra Jaya, hari ini.

Pasangan kekasih berusia 21 dan 24 tahun ditahan sepasukan polis pada 11.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, suspek terbabit dalam kes rompakan di kedai serbaguna 24 jam di Jalan Song Thian Cheok, di sini 4.15 petang, semalam.

Menurutnya, suspek yang bersenjatakan sabit melarikan wang tunai sebanyak RM1,284 dan dua telefon bimbit.

"Suspek kemudian merompak kedai gambar di MJC, Batu Kawa dan melarikan satu beg tangan milik pekerja kedai, kamera dan empat telefon bimbit pada 5.10 petang.

"Dalam kedua-dua kes, suspek meninggalkan lokasi kejadian menggunakan Perodua Viva oren," katanya.

Dev berkata, ketika ditahan kedua-dua suspek berada di bawah pengaruh dadah dan pemeriksaan dalam kereta menemui semua barang yang dicuri.

"Pemeriksaan pada nombor pendaftaran kereta yang digunakan mendapati ia nombor palsu," katanya yang suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 3:39 PM