MOHAMMAD Ibrahim
MOHAMMAD Ibrahim
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) mengambil langkah intervensi menyekat aktiviti spekulasi di pasaran luar pesisir serta melaraskan keseimbangan pasaran mata wang domestik.

Di samping itu, langkah liberalisasi pasaran matawang domestik terus dipertingkatkan untuk menggalakkan perkembangan dan mengukuhkan kestabilan dan daya tahan mata wang negara.

Gabenor BNM, Datuk Seri Mohammad Ibrahim berkata, hasil langkah proaktif itu beberapa perkembangan positif dapat dilihat dan gangguan spekulasi terhadap ringgit di pasaran luar pesisir dapat dikawal.

Beliau berkata, keseimbangan permintaan terhadap nilai ringgit di pasaran mata wang domestik juga semakin baik dan volatiliti dalam nilai ringgit juga semakin menurun.

“Sebagai pasaran terbuka, kita terus terdedah kepada ketidaktentuan dalam arus ekonomi dan kemelut geopolitik dunia. Oleh itu, kita perlu mengambil langkah berhemat dalam mengharungi cabaran global ini.

“BNM bersama FMC terus memantau persekitaran pasaran kewangan dan bila difikirkan perlu, kami memperkenalkan langkah baru memantapkan lagi polisi sedia ada,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Karnival Kewangan 2017 di sini, semalam.

Mohammad berkata, ada juga beberapa pandangan dalam kalangan pemerhati dan penganalisa ekonomi yang meletakkan nilai ringgit pada peringkat tertentu sebagai nilai keseimbangan, seolah-olah mencadangkan nilai ini sebagai suatu sasaran untuk kita capai bagi memastikan keseimbangan ekonomi sedangkan ia tidak tepat dan tidak produktif.

“Pada pandangan saya jelas bahawa nilai ringgit pada ketika ini tidak mencerminkan asas ekonomi negara kita. Bagaimanapun, kita tidak seharusnya terlalu tertumpu kepada nilai keseimbangan ringgit kerana nilai ini sentiasa berubah di dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, tidak menentu dan dinamik.

“Saya percaya langkah diperkenalkan pada 2 Disember 2016 mendekatkan nilai ringgit kepada asas ekonomi negara.

“Adalah penting dalam persekitaran ekonomi terkini, untuk kita bersama-sama menyumbang tenaga, pemikiran dan kepakaran dan terus memajukan pembangunan ekonomi negara.

“Kekuatan sesebuah ekonomi itu bergantung kepada tahap produktiviti rakyatnya. Saya percaya, satu cara untuk kita mempertingkatkan daya produktiviti ialah dengan memaksimumkan ilmu pengetahuan terutama dalam bidang ilmu kewangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2017 @ 5:06 AM