Kuala Lumpur: Rungutan beberapa atlet yang tidak mempunyai jurulatih terutamanya atlet olahraga dijangka selesai selepas kata sepakat membabitkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN), dicapai.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, kata sepakat dalam usaha mengembalikan martabat sukan itu dipersetujui ketika mesyuarat jawatankuasa bersama Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim.

Shapawi menjelaskan mengenai perkara itu sebelum berlepas ke Makkah bagi menunaikan fardu haji dan beliau berharap agar semua pemasalahan dapat diselesaikan dalam persiapan negara menjadi juara temasya Sukan SEA 2017.

“Perkara yang menjadi rungutan beberapa atlet berhubung ketiadaan jurulatih sudah dibincangkan dan setiap atlet akan mempunyai jurulatih sendiri selepas ini, jadi saya berharap kualiti setiap atlet dapat dipertingkatkan dan tiada lagi rungutan.

“MSN akan cuba untuk memberi bantuan terbaik buat atlet dan mereka yang mempunyai masalah sudah dikenal pasti. Pada masa sama saya harap atlet memberi komitmen terhadap latihan kerana saya tidak mahu lagi mendengar isu disiplin atau masalah lain timbul,” katanya.

Shapawi menjelaskan perkara itu ketika merujuk kepada luahan atlet lontar peluar negara Adi Alifuddin Hussin yang tidak mempunyai jurulatih selepas kehilangan Mohd Nazar Abdul Rahim akibat komplikasi jantung, dua tahun lalu.

Sementara itu, Shapawi mengharapkan semua atlet yang berada di bawah program “Kita Juara” akan memberi kerjasama dan berusaha mempertingkatkan prestasi masing-masing, antaranya memperbaiki keputusan pencapaian lalu.

Katanya, atlet di bawah program itu harus menukar warna pingat daripada gangsa dan perak ke emas dan tidak boleh berpuas hati dengan prestasi lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:07 AM