KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Jumiati Rosly


KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) mengingatkan atlet di bawah program mereka supaya tidak mengambil kesempatan susulan pendekatan lembut badan induk itu dalam ‘melindungi’ atlet negara.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menyatakan demikian susulan tindakan atlet lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin yang memuat naik status di laman Instagram malam tadi menuduh dan mempersoalkan misi serta visi Kementerian Belia dan Sukan di bawah kepimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Secara peribadi saya amat kecewa dengan sikap Irfan khususnya selepas kami cuba membantu dia menggapai cita-citanya bukan saja dalam bidang sukan malah turut membantu meyakinkan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang ketika ini sudah mula kurang yakin dengannya.

“Saya suka mengingatkan atlet negara supaya tidak mengambil kesempatan atas pendekatan lembut kami di MSN dalam melindungi dan mengusahakan yang terbaik walaupun ada ketikanya mereka gagal menyempurnakan tanggungjawab. Tapi kami tetap tidak berputus asa membantu mereka mencapai prestasi terbaik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menjelaskan dakwaan Irfan mengenai jurulatihnya, Frantisek Petrovic yang ditamatkan kontrak serta-merta, Shapawi berkata, dakwaan itu tidak benar kerana keputusan MSN tidak menawarkan kontrak baru kepada Petrovic adalah menerusi perbincangan bersama antara mereka, Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Ia dibuat pada mesyuarat jawatankuasa pemilihan atlet dan jurulatih 5 Disember lalu yang berdasarkan prestasi Irfan sepanjang 2018 terutama pada temasya Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Jakarta-Palembang.

“Di samping itu (keputusan tidak melanjutkan kontrak Petrovic) atas permintaan peribadi Irfan sendiri yang berasakan dia sudah terlalu lama menggunakan khidmat jurulatih sama. Tapi kerana tidak mahu mengecilkan hati jurulatih itu, Irfan meminta MSN mengambil tindakan sedemikian.

“Irfan sendiri pergi ke Eropah pada November lalu bagi mencari calon jurulatih baharu. Jika dia sendiri tidak setuju dengan keputusan MSN tidak melanjutkan jurulatih peribadinya, kenapa dengan tergesa-gesa dia sanggup mengeluarkan belanja sendiri mencari pengganti jurulatih itu,” katanya.

Shapawi berkata, MSN dan KOM juga mencadangkan kepada Irfan untuk berlatih dengan jurulatih acara melontar dari China, Gu Yuan yang melatih di negara ini namun Irfan tidak bersetuju.

“Pada 7 Januari lalu Irfan mengemukakan permohonan kepada KOM dan MSN untuk menjalani latihan di Eropah dan satu-satunya calon jurulatih (yang dia mahukan) dari Republik Czech, Imrich Bugar yang berusia 64 tahun.

“Mesyuarat jawatankuasa kerja (Selasa lalu) mengambil perhatian dan membincangkan mengenai cadangan Irfan dan kami mencadangkan kepada KOM untuk berbincang semula dengan Irfan mengenai calon itu khususnya kemampuan dan rekod Bugar supaya jurulatih itu sekiranya dilantik bukan saja melatih Irfan tapi beberapa atlet lain,” katanya.

Mengenai permohonan Irfan untuk berlatih di luar negara, Shapawil berkata, program yang dipohon adalah selama 85 hari bermula 23 Januari ini di Prague dan Antalya, Turki, namun MSN mahu perkara itu diteliti semula bersama ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas.

“Apa yang dikemukakan oleh Irfan hanyalah sehelai kertas mengandungi keperluan kewangan yang dipohon daripada MSN-KOM dan maklumat ringkas mengenai Bugar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 3:43 PM