HAFIZ
HAFIZ
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Keadaan Kelab Santa Monica yang kurang memuaskan mendorong Majlis Sukan Negara (MSN) menukar percaturan dengan tidak menghantar atlet pecut negara menjalani latihan intensif di Amerika Syarikat.

Selepas meneliti laporan ketua jurulatih olahraga, Zainal Abas yang baru pulang daripada membuat tinjauan di sana, Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail bersetuju menukar haluan atlet pecut negara.

Shapawi berkata, selain daripada keadaan persekitaran tidak memuaskan, kemampuan jurulatih di situ juga terhad.

Katanya, perkara itu jelas boleh mengundang masalah terutama kecederaan buat skuad negara yang sedang dalam persiapan menghadapi Sukan SEA 2017.

“Kita tidak boleh mendapat tambahan kepakaran di Santa Monica dengan keadaan dan permukaan trek yang agak lama dan tidak sesuai. Jadi kami terpaksa menukar perancangan.

“Keadaan itu boleh mengundang kecederaan jika diteruskan. Tambahan pula kebanyakan jurulatih yang berada di kelab itu mempunyai kepakaran dalam acara jarak sederhana dan jarak jauh, bukannya pecut,” katanya.

Kelab Santa Monica sebelum ini menjadi pilihan kerana pernah melahirkan Carl Lewis, atlet pecut yang pernah memenangi 10 pingat di Sukan Olimpik.

Justeru, ia dilihat tempat terbaik buat pemegang rekod 100 meter negara Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisyam Abdul Manap bersama jurulatih mereka Mohd Poad Md Kassim untuk mendalami ilmu latihan di sana.

Sebagai jalan penyelesaian, menerusi perbincangan jawatankuasa kerja yang turut disertai Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim, Shapawi memaklumkan seramai 18 atlet olahraga yang berada dalam program Kita Juara untuk fasa kedua akan dihantar berlatih di Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 8:50 AM