SHAPAWI nafi gugur  dua jurulatih olahraga, Frank Petrovic dan Victor Sotnikov. FOTO/NSTP
SHAPAWI nafi gugur dua jurulatih olahraga, Frank Petrovic dan Victor Sotnikov. FOTO/NSTP
Aida Adilah Mat 

 

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail memaklumkan pengguguran dua jurulatih olahraga, Frank Petrovic dan Victor Sotnikov masih belum dimuktamadkan. 

Jelasnya, ia hanya khabar angin cuba ditimbulkan bagi menghangatkan isu itu kerana segala keputusan hanya akan dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa kerja (JKK). 

Shapawi bagaimanapun tidak menafikan bahawa Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mencadangkan nafas baru dalam sistem kejurulatihan sukan itu bagi membantu sistem latihan olahraga negara. 

Justeru dua nama jurulatih berkenaan antara nama yang mungkin akan digugurkan. 

"Masih belum ada mesyuarat JKK lagi. Semua itu hanya khabar angin. Lagi pula saya baru selesai perbincangan bersama KOM.

"Selepas ini akan ada satu mesyuarat JKK dan hanya JKK akan memutuskan keputusan sama ada mahu mengekalkan dua jurulatih berkenaan atau sebaliknya," katanya. 

Dalam perkembangan sama, Shapawi turut memaklumkan beberapa kata sepakat sudah diterima termasuk senarai atlet dan jurulatih yang akan berada dalam penstrukturan semula program latihan di bawah kendalian MSN. 

Katanya satu mesyuarat khas akan diadakan Rabu ini bagi tujuan pembentangan nama kepada lembaga pengurusan MSN.

"Pada dasarnya senarai atlet dan jurulatih sudah dikenal pasti dalam perbincangan yang dilakukan bersama semua persatuan sukan dan MOM (Majlis Olimpik Malaysia). 

"Namun masih ada beberapa lagi jurulatih dalam pertimbangan dan dikenal pasti untuk bantu program latihan atlet yang kita pilih dan semua itu akan ditentukan pada 19 Disember ini," katanya. 

Sementara itu MSN kini bertanggungjawab sepenuhnya dalam mentadbir dan menstrukturkan program latihan selepas Program Podium ditamatkan. 

Sejumlah peruntukan akan dikendalikan sepenuhnya oleh MSN dalam usaha untuk mendapatkan emas pertama di temasya Sukan Olimpik Tokyo nanti. 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 9:24 PM