Kakitangan perubatan hospital awam di Korea Selatan yang kini berdepan kesesakan akibat ramai doktor pelatih meletak jawatan. - FOTO AFP
Kakitangan perubatan hospital awam di Korea Selatan yang kini berdepan kesesakan akibat ramai doktor pelatih meletak jawatan. - FOTO AFP
Reuters

Seoul: Hospital awam di Korea Selatan akan melanjutkan waktu bekerja, kata Perdana Menteri Han Duck-soo pada Jumaat.

Beliau berkata, kerajaan juga akan memperluas penggunaan teleperubatan untuk mengurangkan tekanan yang semakin meningkat pada perkhidmatan penjagaan kesihatan selepas tindakan meletak jawatan oleh beribu-ribu doktor pelatih minggu ini.

Hospital terpaksa menolak pesakit dan membatalkan pembedahan selepas kira-kira dua pertiga daripada doktor muda negara itu berhenti kerja untuk membantah rancangan kerajaan untuk menambah jumlah kemasukan ke sekolah perubatan.

"Operasi institusi perubatan awam akan dinaikkan ke tahap maksimum," katanya pada mesyuarat pengurusan bencana.

Katanya, hospital akan dibuka lebih lama serta pada hujung minggu dan cuti umum untuk menampung keperluan pesakit.

Bantahan itu kini memasuki hari keempat dan kementerian kesihatan membenarkan semua hospital dan klinik menawarkan perkhidmatan teleperubatan, seperti perundingan dan preskripsi, yang setakat ini tersedia secara terhad.

Lebih 7,800 doktor pelatih mengemukakan peletakan jawatan mereka.

Itu adalah sebahagian kecil daripada 100,000 doktor di negara ini, tetapi mereka mempunyai peranan penting dalam operasi harian di hospital pengajar, di mana mereka boleh membentuk lebih daripada 40 peratus kakitangan.

Doktor pelatih ini melaksanakan tugas penting di bilik kecemasan, unit rawatan rapi dan bilik bedah di hospital besar yang merawat pesakit yang dirujuk oleh hospital kecil dan klinik swasta.

Jururawat memberi amaran bahawa mereka dipaksa untuk menjalankan prosedur di wad dan dewan bedah yang lazimnya menjadi tugas doktor pelatih.

"Tanggungjawab utama sesiapa dalam profesion perubatan adalah untuk menjaga kesihatan dan kehidupan pesakit," kata Tak Young-ran, presiden Persatuan Jururawat Korea, menggesa doktor untuk kembali bekerja.

Tekanan yang semakin meningkat ke atas hospital mendorong kerajaan untuk meningkatkan amaran kesihatannya kepada "teruk" daripada "berhati-hati" pada Jumaat, selepas jabatan kecemasan di hospital terbesar telah dihimpit sejak protes bermula pada Selasa.

Doktor yang membantah mengatakan isu sebenar adalah gaji dan keadaan kerja, bukan bilangan doktor.

Tetapi rancangan kerajaan itu bertujuan untuk memperbaiki kekurangan sebanyak 15,000 doktor yang dijangka menjelang 2035.

Doktor kanan dan Persatuan Perubatan Korea, yang mewakili pengamal swasta, telah mengadakan perhimpunan mendesak kerajaan membatalkan rancangannya.

Satu lagi perhimpunan besar dijangka pada Ahad di Seoul.

Perdana menteri memperbaharui gesaan kepada doktor muda supaya tidak mencemarkan memori pengorbanan dan dedikasi mereka semasa pandemik Covid-19 yang telah mendapat penghormatan orang ramai.

Beliau meminta mereka dalam komuniti perubatan berhenti "menolak doktor muda" dan berkata kerajaan sentiasa terbuka untuk perbincangan.

Ramai rakyat Korea menyokong rancangan untuk menambah lebih banyak kemasukan ke sekolah perubatan, dengan tinjauan pendapat Gallup Korea baru-baru ini menunjukkan kira-kira 76 peratus responden menyokong, tanpa mengira fahaman politik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 5:47 PM