CORAK klasik Inggeris cetuskan inspirasi menarik yang melatari himpunan Topshop musim ini.
CORAK klasik Inggeris cetuskan inspirasi menarik yang melatari himpunan Topshop musim ini.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Apa yang ditampilkan Topshop musim ini tidak sukar dirungkai. Cukup dengan minimum dua elemen berbeza dalam satu penampilan bergaya.

Ada pendapat mengatakan Pengarah Kreatifnya, Kate Phelan cuba mempersembahkan pengaruh kultus yang mencetuskan aura British klasik, di samping ingin menonjolkan lagak hutan belantara England yang dingin dan penuh misteri.

Namun, jika disulami semula pada setiap corak, potongan dan perincian yang diketengahkan, inspirasi Topshop kali ini terarah kepada gaya vintaj gadis Inggeris dari desa.

Corak dandelion dan thistle dijadikan sebahagian daripada latar yang menggambarkan kebebasan hidup di desa. Ia seterusnya dilapisi dengan padanan material bulu bagi menyerlahkan gaya yang lebih urban dan sofistikated.

Dikenali sebagai UNIQUE, koleksi Topshop kali ini tidak ketinggalan mengangkat sensasi mewah pada helaian harian.

Daripada celana tweed longgar ke kemeja formal putih hinggalah ke gaun koktel, UNIQUE menitipkan stail terkini dengan perincian seakan-akan adi busana.

Fabrik korduroi sengaja digandingkan bersama renda buatan tangan dan sutera lalu disuntik cetakan thistle yang menyerlahkan pendekatan terkini UNIQUE pada padanan harian.

Kod pakaian tradisional di kawasan pedalaman juga diberi nafas baru yang lebih keras dan kental. Rekaan sepatu but lebih kemas sementara tweed tradisionalnya lebih tahan lasak.

Kombinasinya bersama kilt seterusnya berjaya mengubah helaian baju panas biasa kepada stail yang lebih chic.

Sut klasik turut diubah menerusi sedikit sentuhan siluet gaya era lewat 1990-an. Jahitan yang lebih berstruktur ditambah pada beberapa bahagian lalu membuatkan tampil malar segar.

Unsur moden dan chic sekali lagi ditonjolkan pada gaunnya yang bercirikan kontemporari bersama siluet nakal yang jelas dipaparkan pada perinciannya.

Glamor untuk acara malam dan anggun untuk aktiviti siang, koleksi UNIQUE ini tidak sukar digayakan bersama aksesori atau helaian polos sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:02 AM