Oltmans (kanan) anggap Kumar bejiwa kental. FOTO NSTP
Oltmans (kanan) anggap Kumar bejiwa kental. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, Roelant Oltmans akan cuba memenuhi impian penjaga gol, S Kumar untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020 buat kali pertama.

Jelas Oltmans, beliau sememangnya kagum dengan semangat tidak pernah mengenal erti putus asa yang ditunjukkan oleh Kumar.

"Tidak dinafikan Kumar adalah penjaga gol terbaik yang kita ada di negara ini.

"Dia juga mempunyai pengalaman yang luas sekaligus memberi manfaat besar kepada pasukan.

"Bagi saya dia adalah seorang pejuang sebab walaupun sudah empat kali berdepan kekecewaan gagal layak ke Olimpik dia masih menyimpan impian untuk beraksi di temasya sukan itu.

"Kami harus menjadikan impiannya itu satu kenyataan," katanya.

Malaysia akan beraksi pada perlawanan play-off kelayakan Sukan Olimpik yang dijadual berlangsung November depan bertemu lawan yang belum diketahui lagi.

"Walaupun ia sekadar dua perlawanan timbal balik, tetapi kita masih ada peluang untuk layak.

"Banyak detik-detik yang tidak dijangka dalam dunia sukan. Kadang-kadang perkara yang tidak dijangka berlaku dan untuk itu kami semua harus terus yakin dan percaya," katanya.

Menerusi laporan Arena Metro, penjaga gol utama skuad negara yang baru pulih daripada kecederaan koyak otot paha ketika beraksi di saingan Liga Hoki Malaysia (LHM), Februari lalu itu berkata, hasratnya untuk beraksi di Sukan Olimpik tidak pernah luntur meskipun berdepan kekecewaan dalam empat kempen kelayakan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 4:39 PM