Jeddah: Pihak berkuasa Arab Saudi dilapor mengusir 160,000 jemaah tempatan yang cuba memasuki tanah suci tanpa permit haji.

Amir Makkah Putera Khaled al-Faisal berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan ibadah itu tidak terganggu dan keselamatan jemaah lain terjamin.

Khaled yang juga pengerusi Jawatankuasa Pusat Haji berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan di terminal haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, semalam.

Lebih 1.3 juta jemaah seluruh dunia dijangka menunaikan haji tahun ini.

Sehingga kelmarin, seramai 736,649 sudahpun tiba di Makkah dan Madinah.

Penerbangan terakhir membawa jemaah haji dijangka mendarat di Jeddah pada 18 hari bulan ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 6:29 AM