Bandar purba Al Ula. FOTO/AGENSI
Bandar purba Al Ula. FOTO/AGENSI
Agensi

JEDDAH: Jutaan jemaah Umrah diberikan kebebasan untuk melawat seluruh Arab Saudi sepanjang mereka berada di negara itu, kata Kabinet Saudi semalam.

Arab News melaporkan, ia adalah sebahagian pelan untuk meningkatkan industri pelancongan dan ekonomi Arab Saudi.

“Kabinet memutuskan untuk memansuhkan larangan ke atas jemaah Umrah melawat tempat lain selain Makkah, Madinah dan Jeddah. Perintah diraja sedang dipersiapkan bagi ia berkuat kuasa,” kata pemangku Menteri Media, Issam bin Saeed dalam satu kenyataan kepada Saudi Press Agency (SPA).

Sebelum ini, jemaah Umrah hanya boleh melawat Makkah, Madinah dan bandar pelabuhan Jeddah.

Hampir lapan juta umat Islam menunaikan Umrah tahun ini dan usaha Kabinet akan membolehkan pelancong Umrah bergerak lebih bebas di Arab Saudi dengan melawat mercu tanda utama, tapak bersejarah, tarikan pelancongan dan pusat beli-belah.

“Jemaah dibenarkan tiba di mana-mana pelabuhan di negara ini agar memudahkan ketibaan mereka dan meluaskan kapasiti menerima lebih ramai pengunjung,” kata Ketua Perancangan dan Pegawai Strategi Kementerian Haji dan Umrah, Dr Amr Al-Maddah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 3:13 PM