Linda dan Syed Aiman sudah tidak tinggal sebumbung. FOTO NSTP
Linda dan Syed Aiman sudah tidak tinggal sebumbung. FOTO NSTP
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon Linda Rafar, 37, mengesahkan dia sudah tidak tinggal sebumbung dengan suaminya yang juga pelakon Syed Aiman, 40, sejak lelaki itu didakwa melafazkan cerai pagi kelmarin.

Linda ketika dihubungi berkata, dia bersama tiga anaknya kini tinggal di rumah ibunya di Shah Alam.

"Selepas kejadian itu, saya terus pergi ke rumah ibu. Kalau boleh buat sementara waktu ini saya tidak mahu berjumpa dan tak mahu bercakap apa-apa dengan dia (Syed Aiman),” katanya.

Menurut Linda, sejak kejadian itu Syed Aiman juga tidak datang berjumpa atau meminta maaf dengannya.

“Takkan saya pula nak berbuat demikian sedangkan puncanya daripada dia sendiri. Jadi saya malas nak ambil kisah,” katanya.

Linda berkata, dia perlu berfikir banyak kali untuk menerima lelaki itu kembali.

“Dia tak tahu betapa hancurnya hati saya apabila dia melafazkan perkataan cerai itu. Lagipun saya sudah lama bersabar dengan sikapnya tetapi dia tak pernah serik atau cuba untuk berubah.

“Saya cuba menerima dan jalankan tanggungjawab dengan sebaiknya. Saya juga masih bertoleransi dan tahan dengan setiap apa dia lakukan.

“Kebiasaannya apabila bergaduh, saya akan mengalah dan meminta maaf tapi apabila dia melafazkan cerai, saya jadi tak terkata,” katanya.

Sementara itu, Syed Aiman ketika dihubungi tetap dengan pendiriannya dengan menafikan apa berlaku seperti didakwa Linda.

Dia menjadikan perkara itu sebagai satu isu, jadi saya malas nak komen panjang. Cukup untuk saya katakan, tidak ada apa-apa berlaku dalam rumah tangga kami.

"Saya tak lafaz seperti didakwa. Kalau dia terus nak berkata macam-macam, itu hak dia. Bagi saya hal rumah tangga tak perlu diceritakan kepada umum. Saya tak perlukan itu semua," katanya.

Dalam pada itu, Linda menjelaskan dia tidak ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam untuk mengesahkan lafaz itu, semalam kerana tidak sihat.

"Maafkan saya kerana tak hadir ke mahkamah semalam. Saya bukan sengaja atau berniat nak menipu pihak media, tapi saya demam teruk dan sakit perut hingga badan lemah dan tak boleh nak ke mana-mana," katanya yang kini hamil tiga bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 6:11 PM