Anthony Martial.
Anthony Martial.

Manchester United membelanjakan £36 juta (RM232.1j) untuk membeli Anthony Martial, namun kalangan penyokong mungkin boleh dimaafkan kerana tidak mengetahui mengenai pemain remaja berusia 19 tahun yang sebelum ini bersama Monaco.

Ini kerana Martial suka berehat di rumah sambil menikmati masakan ibunya, ketagih menonton televisyen dan berehat bersama keluarga selepas latihan atau perlawanan.

Malah penyerang itu juga sudah berkahwin dengan buah hatinya, Samantha dan mempunyai seorang bayi bernama Toto.

Mereka kini menantikan kelahiran anak kedua.

Yuran perpindahan Martial yang mungkin melonjak hingga ke £58 juta (RM373.9 juta) dengan bonus termasuk status sebagai Pemain Tahunan Eropah menjadikannya pemain remaja termahal dalam sejarah.

Samantha memuat naik gambar suaminya menyarung jersi United di Instagram dengan berkata: “Kehidupan baru bermula di England, kami tidak akan lupakan Monaco. Terima kasih atas sokongan anda.”

Dia juga sudah memulakan jalinan hubungan dengan WAGs (isteri dan teman wanita pemain), dalam tempoh beberapa jam ketika menuju ke United Kingdom.

Samantha kemudiannya diminta ‘datang segera’ oleh teman wanita pemain tengah Aston Villa, Jordan Veretout di Instagram.

Isteri pemain United itu membalasnya dia sudah pun tiba dan memuat naik ‘emoji’ ketawa, selain dua payung.

“Ya, jangan lupa payung anda,” balas teman wanita Veretout itu.

Gaya hidup Martial bagaimanapun berbeza dengan populariti yang baru dikecapinya.

“Selepas latihan, saya sentiasa kembali ke rumah untuk bersama isteri. Saya seorang yang suka melepak di rumah,” katanya kepada France Football sebelum ini.

Pemain kelahiran Paris itu digelar Thierry Henry baru tetapi seperti mana remaja lain, dia sukakan permainan video termasuk FIFA dan rancangan televisyen seperti Dexter.

Sewaktu di Monaco, setiap kali selepas perlawanan dia menghantar mesej kepada isterinya dan mereka boleh berjalan tanpa diganggu.

“Kami boleh berjalan dengan tenang, anda tidak diganggu sesiapa pun,” kata Martial.

Tetap selepas menyertai kelab bola sepak paling terkenal di dunia, semua itu pasti berubah.

Namun sumber terdekat dengan pemain itu berkata: “Anthony kini membawa gelaran glamor sebagai remaja termahal dalam dunia bola sepak tetapi kehidupannya sungguh berbeza.

“Dia suka tinggal bersama keluarganya. Tidak mungkin dia mencetuskan kekecohan sebaik tiba di Manchester.“

Idolanya ketika kecil adalah Sonny Anderson. Penyerang Brazil itu menjaringkan 71 gol dalam 110 penampilan Ligue 1 untuk Lyon dari 1999 hingga 2003.

“Jersi pertama saya adalah Sonny Anderson,” kata Martial.

“Saya juga sukakan Ronaldo dan Ronaldinho.”

Dalam Twitter Martial tahun lalu, dia memuji legenda Manchester United Ryan Giggs yang membantu skuad Inggeris itu mengatasi Olympiakos dalam aksi 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara.

“Giggs berusia 40 tahun. Hormat.”

Bekas pemain dari Wales itu akan menjadi jurulatih Martial, lantaran beliau kini penolong pengurus di Old Trafford.

Martial membuat tiga penampilan dalam Ligue 1 bersama Lyon dan 49 bersama Monaco, menjaringkan 11 gol.

Bayaran diterimanya setimpal dengan kejayaan di Perancis tetapi Louis van Gaal menemui sesuatu di dalam pemain remaja yang baru-baru ini dipanggil pasukan kebangsaannya. Hanya masa akan menentukan jika pelaburan itu berbaloi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 5:04 AM