PEMERDAGANGAN di lapangan terbang dapat dibanteras sekiranya orang ramai memahami petunjuk penyeludupan manusia.
PEMERDAGANGAN di lapangan terbang dapat dibanteras sekiranya orang ramai memahami petunjuk penyeludupan manusia.
Susunan Siti Salmiah A Hamid

Ia musim cuti untuk sebahagian besar negara di dunia dengan pelancong berduyun-duyun ke lapangan terbang untuk menikmati percutian panjang selepas keletihan bekerja.

Bagaimanapun, bukan pelancong saja yang menaiki kapal terbang, sebaliknya ia menjadi transit penyeludup manusia untuk dijadikan buruh paksa atau bagi tujuan pemerdagangan seks.

Melalui taktik itu, mangsa diterbangkan ke negara ketiga dengan dijanjikan pekerjaan bergaji lumayan. Adakalanya, penyeludup membawa mangsa dari sebuah negara ke negara lain untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beberapa organisasi yang terbabit dalam antipemer­dagangan berkongsi tip yang boleh digunakan untuk me­ngenal pasti sama ada penumpang itu mahu diseludup dalam pemerdagangan manusia.

Apa yang perlu anda lakukan

Walaupun anda terjumpa beberapa petunjuk, ia tidak bermakna seseorang itu diperdagangkan.

Tetapi jika anda mengesyaki seseorang itu diseludup, jangan cuba berhadapan dengan penyeludup atau cuba menyelamatkan mangsa pemerdagangan sebaliknya buat panggilan kecemasan atau maklumkan kepada pihak berkuasa lapangan terbang.

Terdapat tujuh petunjuk pemerdagangan manusia

Pengembara tidak memakai pakaian yang sesuai dengan laluan perjalanan mereka.

Anda mungkin menyedari seseorang pengembara hanya membawa sedikit atau tidak langsung memiliki bara­ngan peribadi. Pakaian mangsa mungkin agak serabut berbanding orang lain. Mangsa mungkin berpakaian yang bukan saiz mereka atau tidak sesuai dengan cuaca di laluan perjalanan.

Mereka mempunyai tatu dengan kod bar, perkataan ‘Daddy’

Kebanyakan orang mempunyai tatu, malah ia tidak memberi sebarang petunjuk. Berbanding penyeludup atau bapa ayam yang berasakan mereka ‘memiliki’ mangsa, tatu itu dianggap kod bar, contohnya tatu dengan perkataan ‘Daddy’ atau nama seseorang lelaki boleh dijadikan petunjuk kepada mangsa.

Mereka tidak mampu memberi maklumat lokasi berlepas, destinasi atau maklumat penerbangan

Penyeludup manusia menggunakan beberapa peralatan untuk mengelak timbul kesangsian mengenai jenayah mereka dan menjaga mangsa diperhambakan.

Sebahagian pengedar tidak memberitahu mangsa lokasi mereka ditempatkan atau jenis pekerjaan.

Oleh kerana mangsa tidak mempunyai cara pulang ke rumah atau wang untuk membeli makanan atau pakaian sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada penyeludup mendapatkan keperluan hidup.

Komunikasi mangsa mengikut skrip, ada yang tidak konsisten dengan cerita mereka

Penyeludup akan melatih mangsa pemerdagangan untuk bercakap perkara tertentu di khalayak ramai bagi mengelak syak wasangka.

Cerita seseorang pengembara yang seolah-olah tidak konsisten atau terlalu mengikut skrip mungkin cuba menyembunyikan tujuan sebenar perjalanan mereka dan hanya berkomunikasi mengikut apa yang diajar.

Mereka tidak boleh bergerak bebas di lapangan terbang dan dalam pesawat atau mereka dikawal dan diikut de­ngan rapat

Mangsa pemerdagangan dijadikan hamba kebiasaannya dijaga rapi dalam perjalanan. Penyeludup memastikan mangsa tidak melarikan diri atau mendekati pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

Takut bercerita mengenai diri mereka kepada orang sekitar, menangguhkan sebarang cubaan berbual dengan seseorang yang mahu membantu

Takut dan ugutan adalah dua perkara digunakan penyeludup untuk mengawal mangsa sebagai abdi. Penyeludup sering menghalang mangsa daripada berinteraksi dengan orang ramai kerana mangsa mungkin berkata se­suatu yang boleh menimbulkan syak wasangka mengenai keselamatan dan kebebasan mereka.

Pemerdagangan kanak-kanak

Kanak-kanak yang diperdagangkan untuk eksploitasi seksual berkemungkinan dilihat memakai pakaian yang agak menonjol atau seolah-olah berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.

Kanak-kanak itu mungkin kelihatan kekurangan zat atau menunjukkan tanda penderaan fizikal dan seksual seperti lebam, parut atau dicucuh dengan api rokok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 4:20 AM