GAMBAR Sacharay sewaktu kanak-kanak dan ketika bersekolah menengah.
GAMBAR Sacharay sewaktu kanak-kanak dan ketika bersekolah menengah.
SACHARAY kini turut membantu remaja lain yang senasib dengan dirinya.
SACHARAY kini turut membantu remaja lain yang senasib dengan dirinya.
PENAUNG dan pengarah eksekutif The Living Water Center, Lisa Williams.
PENAUNG dan pengarah eksekutif The Living Water Center, Lisa Williams.
JADA Pinkett Smith bercerita mengenai dirinya cuba menangani masalah anak-anaknya.
JADA Pinkett Smith bercerita mengenai dirinya cuba menangani masalah anak-anaknya.
RUMAH tumpangan dan hotel menjadi sarang pemerdagangan kanak-kanak untuk seks bagi menjalankan operasi.
RUMAH tumpangan dan hotel menjadi sarang pemerdagangan kanak-kanak untuk seks bagi menjalankan operasi.
Susunan Siti Salmiah A Hamid


Laluan yang membawa kepada penyeludupan manusia bermula di lorong berdekatan sekolah menengah di Florida.

Dia hanya mahu dikenali sebagai Sacharay, berusia 14 tahun.

“Saya sudah biasa diejek kerana berkulit gelap. Apabila memakai cermin mata, saya dipanggil empat mata,” katanya.

Apabila seorang rakan sekelas yang lebih tua mendekati dirinya dan mahu menjadi rakan, Sacharay berfikir mungkin nasib dia berubah.

“Saya menganggap dia seperti kawan baik kerana boleh meluahkan isi hati sehingga suatu hari dia bertanya sama ada saya mahu ponteng sekolah dan bersuka ria lalu kami ke kedai gunting rambut.

“Sewaktu berada di sana, dia memperkenalkan saya kepada beberapa lelaki,” kata Sacharay, kini berusia 19 tahun.

Seorang lelaki itu yang berusia pertengahan 30-an menunjukkan minatnya kepada Sacharay.

Lelaki itu memikat remaja terbabit dengan memberi hadiah, memujinya dan memberi nasihat mengenai kehidupan.

“Sikapnya seperti seorang ayah dan kami akhirnya mengadakan hubungan seks. Sejak itu saya tahu lelaki itu memang berminat dengan kanak-kanak untuk melakukan seksual,” katanya.

Seorang ahli psikologi forensik di Atlanta, Anique Whitmore ia perbuatan halus yang mencampurkan elemen cinta romantis dengan sikap penjagaan sebagai bapa sehingga mengelirukan kanak-kanak itu.

Bagaimana mangsa pemerdagangan seks boleh dibantu

Keadaan itu terjadi apabila kurangnya keyakinan golongan itu dan lemah apabila mendapat pujian, menurut Whitmore.

Tidak hairanlah, apabila lelaki itu meminta Sacharay membalas ‘kebaikannya’ dengan meniduri lelaki lain untuk wang, dia tidak boleh berbuat apa-apa.

“Kata-kata seperti ‘saya cintakan awak’... membuatkan saya serba salah sehingga sanggup melakukan seksual dengan lelaki lain,” kata Sacharay.

Tidak lama kemudian Sacharay dijual kepada puluhan lelaki sehari. Dia akan berjumpa pelanggan seks di bilik motel berhampiran lebuh raya bahkan ada kalanya di belakang kedai gunting rambut itu.

“Satu hari saya seperti tidak mampu melakukannya lagi kerana dalam kesakitan. Saya melakukan hubungan seks dengan 40 lelaki sehari, saya keletihan dan tidak mampu melakukan lagi.

“Tetapi lelaki itu tidak peduli. Jika enggan, dia akan mengacu pistol dan mengugut untuk menembak saya jika cuba melarikan diri,” kata Sacharay mengingati detik menakutkan itu.

Pengeksploitasi Sacharay akhirnya membawa gadis itu dan seorang lagi remaja ke Atlanta kerana dia boleh meletak harga lebih tinggi.

Mengapa Atlanta sebagai ‘hab’ pemerdagangan manusia

Pada tahun lalu, lebih 3,500 kes permerdagangan seks dilaporkan kepada National Human Trafficking Resource Center.

Kajian Urban Institute pada 2014 mendapati penyeludup di Atlanta mampu menjana lebih RM121,827.20 seminggu melalui pemerdagangan seks.

Hasil penyelidikan sejak tahun 2007 menunjukkan industri seks haram di Atlanta menjana kira-kira RM1 bilion setahun.

“Ia adalah sebuah bandar besar. Terdapat banyak perkara boleh dilakukan di Atlanta dan penyeludup tahu,” kata Sarjan Torrey Kennedy yang bertugas dengan unit DeKalb County Internet Crimes Against Children (ICAC).

Sebahagian besar penyeri Atlanta adalah lapangan terbangnya yang paling sibuk di dunia.

“Seorang lelaki boleh memulakan perjalanan untuk melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak ini sebagai contoh, dia akan terbang pada jam 3 petang, bertemu kanak-kanak itu pada jam 6 petang dan menghilangkan diri jam 8 malam.

“Masalahnya, bagaimana kita boleh mengetahui siapa mereka? ” kata Dalia Racine, penolong peguam daerah untuk DeKalb County yang sebahagian daripada Atlanta.

Mangsa bukanlah pelacur

Racine dan Kennedy sering bekerjasama untuk mengenal pasti dan mendakwa kumpulan penyeludupan manusia.

Sebagai sebahagian daripada siri penyiasatan, CNN Freedom Project mengikut Kennedy dan pasukannya melakukan serbuan selama lebih setahun.

Pada Jun 2014, DeKalb County ICAC and Vice Unit menjalankan operasi bagi mencari mangsa bawah umur. Di hotel, mereka menempatkan ejen yang menyamar mengaturkan ‘pertemuan’ dengan wanita pengiring melalui Internet.

Selepas beberapa perbincangan, pengiring yang muncul itu seorang perempuan di bawah umur.

Kennedy mengalami keadaan menyayat hati dalam satu serbuan, apabila mangsa pemerdagangan tidak mahu menerima apa-apa bantuan.

“Kami tidak mahu menangkap gadis itu tapi dia lebih rela masuk penjara daripada menerima rawatan, seolah-olah gembira hidup dalam kesengsaraan,” kata Kennedy.

Penyiasat percaya sindiket pemerdagangan tempatan membelikan gadis itu tiket bas dari Detroit ke Atlanta, memberikan anak anjing dan membayarkan bilik hotel tempat dia ditemui.

“Dia mempunyai satu tatu pada lututnya, kami sudah melihatnya beberapa kali di kawasan itu dan ia mungkin jenama daripada bapa ayam tempatan.

“Itu satu perkara baru daripada bapa ayam. Mereka letak logo pada gadis mereka. Tatu itu kelihatan segar, menunjukkan dia (bapa ayam) baru mendapat gadis itu,” kata Kennedy.

Berjuang dengan lebih bersungguh-sungguh

Sacharay mempunyai tatu sendiri sewaktu dia dieksploitasi.

Dia bernasib baik mendapat bantuan organisasi bukan berasaskan keuntungan, The Living Water Center yang memberikannya pendidikan dan pekerjaan.

“Saya benci melihat diri sendiri setiap kali memandang cermin tapi harus meneruskan kehidupan,” kata Sacharay.

Sacharay kini mempunyai fokus baru dan tatu terkini pada lengannya ‘Bebas Menjadi Diri Sendiri’.

Tetapi terdapat ramai wanita muda yang masih terperangkap dalam pemerdagangan seksual. - CNN

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 12:24 PM