KUALA LUMPUR: Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah di kedua-dua arah di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) akan ditutup selama empat bulan mulai Khamis ini kerana kerja-kerja menaik taraf.

Projek Lebuh Raya Usahasama Berhad dalam satu kenyataan berkata, penutupannya bermula 3 September hingga 2 Januari tahun depan bagi menaik taraf gerai makan dan minuman serta medan selera sedia ada.

Bagaimanapun restoran, tandas awam, gerai buah-buahan, surau, kawasan meletak kenderaan serta stesen minyak masih dibuka seperti biasa.

PLUS turut memaklumkan penutupan sementara beberapa kawasan R&R bagi kerja-kerja penyelenggaraan.

Kawasan R&R yang akan ditutup esok ialah R&R Machap arah utara, R&R Macahap arah selatan dan R&R Dengkil arah selatan pada Selasa, R&R Pagoh arah selatan dan R&R dengkil arah utara pada Rabu minggu hadapan.

Stesen minyak bagi semua R&R yang ditutup itu masih beroperasi seperti biasa. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 9:54 PM