SHAHNAZ (tiga dari kiri) bersama peninju di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
SHAHNAZ (tiga dari kiri) bersama peninju di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Oleh Mohd Zulkifli Zainuddin

Kota Bharu: Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM) optimis skuad muay thai negara mampu memberi saingan dalam kejohanan dunia yang akan berlangsung di Sweden, Mei depan.

Ia bersandarkan kepada kedudukan terkini Malaysia yang terletak pada tangga ke-10 dunia ketika ini.

Presiden PMM Datuk Muhd Shahnaz Azmi berkata, ketika ini pihaknya sedang membuat persiapan termasuk memilih 10 peninju terbaik untuk mewakili negara.

Katanya, pemilihan akan dibuat berdasarkan Kejohanan Muay Thai Kebangsaan yang akan diadakan, Disember nanti.

“Buat masa ini, kita akan mencari juara melalui kejohanan negeri dulu sebelum dihimpunkan dalam peringkat kebangsaan. Pemilihan membabitkan kategori 48 kilogram (kg), 50kg, 53kg, 60kg dan 70kg manakala mereka yang dipilih kem negara akan ke Russia dan Thailand untuk menjalani latihan.

“Selain itu, peninju juga akan menjalani latihan dengan jurulatih berpengalaman selama enam bulan di Kem Kebangsaan Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar kelmarin. Hadir sama, Penasihat Sukan Seni Tomoi Kelantan (PSSTK) Datuk Dr Zulkepli Mohamad.

Muhd Shahnaz berkata, pihaknya juga giat mencari pelapis seawal usia lapan tahun untuk diasuh sebagai persediaan, memandangkan sukan muay thai akan diiktiraf Majlis Olimpik Antarabangsa tidak lama lagi.

“Kita bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mencari bakat pelapis ini kerana yakin muay thai akan berkembang dan berada dalam Olimpik dalam tempoh 15 hingga 20 tahun lagi,” katanya.

Dari segi persaingan, katanya, ketika ini, Thailand memberi saingan kuat untuk kategori 60kg, manakala pesaing lain termasuk Russia dan Belarus.

Sementara itu, Dr Zulkepli berkata, Kelantan tidak ketinggalan mencari bakat baru untuk seni bela diri itu dengan mengadakan pelbagai kejohanan peringkat daerah dan negeri.

“Di Kelantan, kami cuba aktifkan pembangunan sukan muay thai bagi melihat perkembangan setiap kelab sukan menerusi pertandingan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2015 @ 5:08 AM